Saturday, April 18, 2015

Tazkirah & Soal Jawab Agama Siri 22 (Zikir Cara Menari, Jodoh Telah Di Tetapkan, Qada' Dan Qadar (Panjang Umur), Darah Haid Dan Pinjam Duit Judi)

Soalan no. 106

Assalamualaikum Ustaz.apa pendapat Ustaz tentang zikir sambil joget tu?

- Razfie Amien.

Jawapan : 

Waalakaumussalam Razfie Amien : Sudah menjadi kebiasaan (uruf) umat Islam di Malaysia, Indonesia , Brunei, Singapura dan negara-negara lain apabila berzikir dengan cara duduk. Apabila di dedahkan dengan berzikir secara menari atau berjoget maka umat islam mula menjadi keliru dan menjadi tanda tanya. Apabila berlaku kekeliruan ini maka berlakulah khilaf di kalangan ulama ada yang mengharuskannya dan ada yang melarangnya. Ulama yang mengharuskannya bersandarkan ayat al-Quran surah Ali -`Imran, surah ke-3, ayat ke-191;

 Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya, “(Ulul Albab ialah) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.”. Ulama yang melarang pula tidak terdapat satu pun riwayat yang sahih bahawa amalan dan cara Nabi SAW berzikir dengan cara menari seperti yang di lakukan oleh satu amalan tareqat sufi. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis menyuruh berzikir dengan perlahankan suara supaya tak menganggu orang lain sedang beribadah.

Hadis Rasulullah SAW : 

١) عن أبى موسى قال: كُنَّا مَعَ النِِّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى سَفَرٍ ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ بِالتكْبِيْرِ وَالتَّهْلِيْلِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلىَ أنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أصَمَّ وَلاَ غَائِبًا ، إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا ، وَهُوَ مَعَكُمْ(رواه مسلم)

Maksudnya, "Daripada Abi Musa (ra), katanya: Kami pernah bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam dalam satu perjalanan (safar), lalu manusia (para sahabat) bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahlil (Laa Ilahaa Illal Laah) dengan suara kuat, maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasalam pun bersabda:

“Rendahkanlah suara kamu! Sesungguhnya kamu tidak berdoa (memohon) kepada yang pekak dan tidak pula kepada yang jauh. Sesungguhnya kamu memohon kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat, dan Dia senantiasa bersama kamu”. (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

٢) عن سَعْدِ بْنِ أَبِى وَقَّاص فَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ الذِّكْرِ الخَفِيُّ وَخَيْرُ الرِّزْقِ مَا يَكْفِى(رواه أحمد وابن حبان)

Maksudnya, "Daripada Sa’ad Bin Abi Waqqas (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam: “Sebaik zikir ialah perlahan-lahan, dan sebaik-baik rezki ialah apa yang mencukupi”. (Hadis Sahih Riwayat Ahmad & Ibnu Hibban )

Berdoa Dan Berzikir Hendaklah Dengan Suara Lunak (Lembut):

Selain hadis-hadis di atas, juga banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita agar berdoa dan berzikir dengan suara lunak dan melarang kita melakukannya dengan suara keras dan lantang. Di antara ayat-ayat tersebut ialah:

Firman Allah SWT : 

ادْعُواْ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya, "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."(Surah al-A’raaf (7) ayat 55)

Firman-Nya lagi. 

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya, "Dan berzikirlah (sebutlah nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai."(Surah al-A’raaf (7) ayat 205)

Umat Islam jangan terkeliru jika terdapat bentuk dan cara zikir yang berlainan dan bertentangan dengan uruf kebiasaan masyarakat kita amalkan. Semoga kita di jauhi daripaad fitnah dan amalan yang tidak pernah di lakukan oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

Terdapat riwayat para sahabat berqasidah dengan di iringi dengan gendang maka Nabi SAW tidak melarangnya tetapi bukan berzikir atau berdoa kerana zikir dan doa termasuk juga berselawat adalah ibadah (yang akan di berikan pahala) apabila di lakukan dengan suara yang perlahan dan dengan rasa khusuk
Dalam laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-48 pada 3 April 2000.
Muzakarah memutuskan bahawa tariqat yang diguna pakai ketika berzikir ke atas Nabi Muhammad SAW itu adalah bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Jakim dalam kenyataannya di e-fatwa menjelaskan bahawa Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang dipimpin oleh Sheikh Nazim Al-Haqqani adalah menyeleweng dan pengamal ajaran tersebut diminta segera bertaubat. Jakim turut meminta supaya semua negeri menggunakan ke­putusan fatwa itu dan mengharamkan umat Islam menggunakan ka­edah zikir tersebut (zikir cara menari / berjoget) ke­rana bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Soalan no. 107

Assalamualaikum ustaz..boleh beri pencerahan yang lebih padat lagi tak tentang kenyataan ini?

- Joy Dimarzio's 



Jawapan : 

Waalaikumussalam Joy Dimarzio : Proses penciptaan manusia di jelaskan di dalam al-Quran. 

Firman Allah SWT maksudnya, "Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. (Surah al-Mukminun (23) ayat 14)

Hadis Nabi SAW : 

Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami –sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”.(Hadis Sahih Bukhari No. 3208)

Tahap penciptaan manusia setelah terjadi pertemuan sperma dan ovum sampai ditiupkannya roh adalah sebagai berikut :

1. Proses sperma menjadi segumpal darah, 40 hari.

2. Proses segumpal darah menjadi segumpal daging, 40 hari.

3. Proses segumpal daging menjadi tubuh yang lengkap, 40 hari.

Pada hari yang ke-120 roh ditiupkan dan Allah SWT mengutus Malaikat untuk mencatatkan rezeki, waktu kematian, amal perbuatan dan nasibnya celaka atau bahagia. 

Catatan 4 perkara ini sengaja dirahasiakan agar manusia tetap berusaha menjadi yang terbaik. Manusia tahu akan takdirnya setelah suatu peristiwa telah terjadi. Ketetapan ini bukan bererti Allah SWT menzalimi hamba-Nya jika ia celaka. Manusia tidak berhak menyalahkan Allah SWT atas ketetapan-Nya, kerana Allah SWT sangat sayang terhadap hamba-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya, " Katakanlah (Muhammad) milik siapakah apa yang di langit dan di bumi? " Katakanlah, "Milik Allah" Dia telah menetapkan (sifat) kasih sayang pada diri-Nya." (Surah al-An'am (6) ayat 12)

Allah SWT telah memberikan Al-Qur'an Dan Al-Hadits Pedomanku
an sebagai buku panduan, hidayah, akal, hati, panca indera, dan sarana lainnya yang terbaik yang di contohkan oleh para Nabi dan Rasul-Nya, mengabulkan setiap permohonan.

Firman Allah SWT maksudnya, " Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya.Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" (Surah Ibrahim (14) ayat 34).

Qada' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Loh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal Qada' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qada' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah SWT sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Saidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qada' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim. 

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'." (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Soalan no. 108

Assalamualaikum ustaz Abu Basyer..boleh ustaz terangkan lagi hadis di atas.."..dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan" (Hadis Riwayat Tirmidzi)..apakah bermaksud jika kita mahu umur kita dipanjangkan maka bermakna kita kena banyakkan berbuat kebajikan?Dan adakah umur seseorang itu pendek kerana kurang kebajikan..?Mohon ustaz perjelaskan.Terimakasih.

- Faridah Faridah FK

Jawapan :

Waalakumuslaam Faridah Faridah FK : Dalam memahami qadar Allah, jelas difahami segala perkara telah ditetapkan dan diketahui oleh Allah Azzawajalla. lni temasuk dalam cakupan ilmu Allah yang meliputi segala-galanya. la juga berlaku dengan kehendak Allah.

Ini berdasarkan kaedah:

Maksudnya: “Perkara yang Allah kehendaki ia pasti berlaku, dan perkara yang Allah tidak kehendaki berlaku maka ia tidak akan berlaku.”

Namun, timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada disebutkan ungkapan bahawa qadar tidak ditolak melainkan dengan doa. Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menjadi tidak sakit? Kalau qadar menetapkan kita akan terlibat dengan kemalangan, tidakkah kita boleh berusaha untuk mengelakkan daripada kemalangan itu berlaku?

Qadar Allah

Untuk menjelaskan isu ini, keterangannya seperti berikut:

1. Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah.

Hakikatnya, tiada sesiapa mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya.

Seorang pelajar juga tidak tahu berapa nilai kecemerlangan atau gred A yang akan dia peroleh. Oleh sebab itu, kita tidak perlu menunggu qadar datang, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang terbaik daripada Allah.

2. Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakinya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendakinya.” (Surah al-Ra‘d 13: 39)

Menurut Ibn ‘Abbas r.a. dalam Tafsir Ibn Kathir ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendakinya. Ini bermakna Allah menetapkan apa-apa yang dirancang dan juga
mengubah perkara yang sudah dirancang.

3. Qadar mubram dan qadar mu‘allaq.

Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu‘allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi para malaikat. Maka, rezeki, ajal, kematian dan usia tetap di sisi Allah SWT. Namun, catatan yang ada di sisi para malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah daripada Allah.

Contohnya, di sisi Allah usia setiap insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi para malaikat adalah tidak tetap. Ia bergantung dengan sebab tertentu.

Ini telah jelas kepada kita sebuah sabda Nabi SAW. yang bermaksud: “Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Dengan ini, kita boleh mengandaikan Allah menetapkan usia seseorang sekitar 50 tahun sahaja. Namun jika dia menghubungkan tali silaturahim sesama manusia, sentiasa menolong orang buat kebajikan, maka usianya akan ditambah sehingga mencapai 70 tahun. Malaikat hanya mengetahui usia seseorang antara 50 dengan 70 tahun. Malaikat tidak tahu sama ada usia seseorang bertambah atau tidak kerana malaikat tidak tahu sama ada seseorang itu menghubungkan tali silaturahim atau tidak. Namun, hanya Allah mengetahui hakikat sebenar. Oleh sebab itu, menghubungkan tali silaturahim menjadi sebab pertambahan usia.

Tentukan Hala Tuju Diri

Apabila kita memahami qadar dengan spek begini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju diri kita. Qadak dan qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang pemalas. Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha.

Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan bahawa kita miskin? Mungkin Allah telah menetapkan kita sebenarnya kaya, cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas untuk berusaha.

Begitu juga persoalan kebahagian.

Kita tidak tahu hakikat sebenar yang ditentukan oleh Allah. Namun, orang yang berusaha untuk mencari kebahagiaan akan menemui kebahagiaan tersebut.

Inilah ketetapan Allah yang umum dan pasti. Ada diriwayatkan dalam satu hadis bahawa sesiapa yang berusaha maka dia akan mendapatnya. Kaedah dalam hadis ini adalah kaedah umum yang mengikat kejayaan dengan usaha. Ini juga daripada qadar Allah. Oleh sebab itu, kejayaan yang sebenar diikat dengan jauhnya daripada azab api neraka.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya dengan kejayaan yang besar.” (Surah Ali ‘Imran 3:185)

Justeru, bagaimana kaedah untuk dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga? Adakah dengan menyerah bulat-bulat kepada ketentuan llahi?

Jika Allah menetapkan seseorang itu sebagai ahli syurga dan dijauhkan daripada azab api neraka, maka ia nikmat yang amat besar. Namun jika Allah menetapkan seseorang itu dimasukkan ke neraka dan diazab, maka adakah dia perlu reda sahaja?
Kaedahnya telah dibentangkan dengan jelas dalam al-Quran iaitu keimanan kepada Allah dan melakukan amalan soleh.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal dengan amalan soleh sama ada Ielaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk ke syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit.” (Surah al-Nisa’4: 124)

Iman dan amal soleh adalah sebab untuk menjauhkan seseorang daripada api neraka. Oleh sebab itu, setiap insan mesti berusaha untuk beriman dan melakukan amalan soleh. Kita tidak boleh memberi alasan berikut: “Jika Allah mentakdirkan saya sebagai ahli syurga, maka saya tetap akan masuk syurga walaupun saya jahat dan melakukan kejahatan. Begitu juga jika Allah mentakdirkan saya masuk ke neraka, maka saya tetap akan masuk ke dalamnya walaupun saya beriman dan beramal soleh.”

Cuba tanya kepada diri sendiri bagaimana kita sebagai manusia biasa mengetahui bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai ahli syurga atau neraka?

Justeru, kaedah dan konsep yang sama hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan ini.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat do'a itu padahal Qada' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qada' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qada' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Soalan no. 109

Soalan saya..perlukah kita mandi pada hari keringnya haid pada hari ke 5 atau perlukah kita menunggu sehingga hari yang ke 8 atau ke 9.? kerana ia adalah rutin setiap bulan..

- Ara Ali

Jawapan :

Waalakaumussalam Ara Ali  : Menurut mazhab Syafiie, sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam) dengan wujudnya darah secara berterusan. Maksud wujud darah secara berterusan tidak semestinya dengan ia mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.

Oleh kerana ditetapkan tempoh sekurang-kurang haid ialah sehari semalam, maka darah yang datang kurang dari tempoh itu, ia bukanlah darah haid, tetapi darah istihadhah atau darah penyakit. Wanita terbabit hendaklah mengerjakan solat seperti biasa (setelah membersihkan farajnya dan mengambil wudhuk) dan solat yang ditinggalkan kerana menyangka kedatangan haid hendaklah diqada. 

Tidak perlulah ia mandi kerana darah tersebut bukanlah darah haid.Kebiasaan tempoh haid ialah enam atau tujuh hari, manakala tempoh paling lama ialah 15 hari berserta malamnya .

Jumhurul ulama berpendapat tempoh minimum haid ialah sehari semalam. Jika seseorang itu didatangi haid melebihi 15 hari atau kurang daripada sehari, maka keadaan tersebut tidak diperkira sebagai tempoh haid. Dalam kes saudari jika haid keluar 4 atau 5 hari maka saudari wajib mandi dan solat seperti biasa. Jika pada hari ke 7 keluar lagi sehingga hari ke 9 maka dalam tempuh itu adalah darah haid saudari tak perlu solat. 

Jika darah kering pada hari ke 9 maka saudari mandi wajib dan solat. Tempun 9 hari bermula daripada hari pertama adalah tempu haid, oleh kerana darah tak keluar pada hari ke 5 maka saudari wajib solat kerana di takuti darah haid telah kering.

Soalan no. 110

Assalammualaikum ustaz..apakah hukumnya kita pinjam duit dari kawan yang mana duitnya itu kita tahu adalah duit hasil kemenangan judinya..apakah duit itu kekal sebagai duit haram ?Dan haram juga bagi kita untuk meminjamnya?..Sekian..

- Jimmy Azhar Marujil​

Jawapan : 

Waalaikaumusslaam Jimmy Azhar Marujil : Darisegi hukum syarak jika kita pinjam duit seseorang cara yang syarak benarkan (tidak ada riba) maka sah pinjaman tersebut. Daripada mana sumber wang yang di miliki oleh orang yang beri pinjam itu urusan dia dengan Allah SWT. Transasi kita adalah meminjam bukan melibatkan pekerjaan haram. Nabi SAW pernah meminjam gandum daripada Yahudi sedangkan Yahudi perniagaan mereka penuh dengan riba dan pekerjaan haram.

Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):
“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi SAW di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.
Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah SAW tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi SAW lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. 

Baginda menjawab:“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi SAW. Jika ia disedekah kepada Nabi SAW, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud: “Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. 

Beliau menjawab: “Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi, memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa” 

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya: “Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi SAW: “Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan kepadanya.

10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak. Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment