Bismillahirrahmanirrahim.
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Mohon pencerahan mengenai jemputan kenduri ? Kalau kawan kita tak jemput dan kita pergi juga kerana sangka baik dia terlupa, boleh ker ustaz? Bagaimana pula dia memang tak nak jemput kita dan bila kita sampai dia bermuka macam terlupa menjemput kita ?
Berikut yang saya jumpa dekat Internet, perlukan pencerahan daripada Ustaz.
"Hukum makan makanan kenduri yang kita tidak dijemput dipanggil PENCURI namanya.Dalam satu kitab-kitab Feqah,dalam bab Walimah ada sebut tentang perkara ini."Siapa yang tidak dijemput,HARAM dia memakan makanan yang dihidangkan".Hadir pada kenduri itu tidaklah HARAM tetapi HARAM memakan makanan disitu.Dalam kitab Feqah juga ada menyebut "Siapa yang telah makan kenduri tanpa dijemput,Wajib bertaubat dan pulangkan balik makanan tersebut jika telah ditelannya,wajib dibayar dengan harganya".
Ini dipanggil "Makan harta orang secara Batil".Hukumnya HARAM,maka wajiblah seseorang itu membayar balik ganti rugi kepada tuannya."
- Mohd Zuki Seman.
Jawapan :
Waalakaumussalam Mohd Zuki Seman : Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasalam : Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda:
1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.
2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.
3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.
4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.
5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.
6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.
(Hadis Riwayat Muslim).
Di dalam 6 hak yang di nyatakan di atas hanya hak kedua perlu mendapat izin tuan rumah yang membuat kenduri atau undangan. Sebabnya sebahagian tuan rumah tidak membuat kenduri yang besar, buat kecil-kecilan dan makanan pun terhad sahaja, jika kita datang tanpa di undang akan membebankan tuan rumah.
Cara terbaik untuk mengelakkan kehadiran tanpa di undang sebaik-baiknya telefon atau whatapp tuan rumah jika dia benarkan barulah datang, jika datang tanpa di undang akan mendapat dosa jika makan makanan yang di sediakan. Jika kenduri kawin ada kalanya tuan rumah menjemput secara umum di masjid / surau dan jika kita salah seorang jemaah masjid / surau kita di haruskan datang dan jika tak datang tak berdosa kerana jemputan tersebut berbentuk umum. Jika jemputan itu khusus maka wajib kita hadir untuk memenuhi maksud hadis sahih di atas.
Soalan no. 102
Asalammualaikum..saya ni seorang yang tdak boleh sebut huruf R dengan betul..(lidah keras).saya nak tau,macamana dengan al Fatihah saya se waktu sembahyang .sebab ro pun saya tak dapat sebut dengan betul..
- Ahmad Khairul Ane .
Jawapan :
Waalakaumusslaam Ahmad Khairul Ane : Jika saudara sudah berusaha membetulkan sebutan mahraj huruf tetapi tak boleh kerana pelat dan sukar untuk membetulkannya maka dalam keadaan ini di maafkan. Saudara boleh berusah lagi dan berdoa kepada Allah SWT supaya memudahkan sebutan yang saudara lakukan, insya Allah jika berusaha lagi akan berjaya.
Soalan no. 103
Bismillahirrahmanirrahim
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Ustaz, mohon pencerahan, saya mimpi bawa kereta bersama 2 lagi kawan kawan dan sampai di suatu selekoh kereta tidak dapat di kawal dan terbabas. Kesemua 3 orang selamat dan apabila saya turun di dapati kereta saya terbelah dua.
Ada apa apa makna ker ?
- Mohd Zuki Seman
Jawapan :
Waalakauamussalam Mohd Zuki Seman mimpi tersebut adalah gangguan syaitan tidak ada apa-apa mudharat di dalam mimpi tersebut. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).
Untuk mendapatkan mimpi yang benar seseorang perlulah melaksanakan adab-adab sebelum tidur seperti berwuduk, membaca al-Quran, berzikir dan solat witir. Tidur mengiring ke arah kiblat seperti tidur Rasulullah S.A.W. Waktu yang baik adalah waktu tengah malam di antara jam 3.00 pagi hingga 5.30 pagi. (waktu mustajab doa).
Menurut ahli-ahli takbir, mimpi ada tiga macam:
1. Mimpi daripada Allah S.W.T. iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat, merupakan khabar gembira atau satu peringatan daripada Allah S.W.T. supaya tidak melakukan maksiat kepada-Nya.
2. Mimpi yang batil atau permainan syaitan, iaitu mimpi yang tidak dapat diperincikan oleh orang yang bermimpi. Ertinya orang yang bermimpi itu tidak sanggup mengingat tertib atau jalan cerita mimpi itu. Mimpi seperti ini dianggap batil dan tidak mempunyai sebarang makna atau takwil. Atau mimpi buruk yang tidak menyenangkan seperti kedatangan mala petaka, musibah, permusuhan, kesedihan, kesengsaraan, kemelaratan, penderitaan dan sebagainya.
3. Keinginan nafsu. Seperti kita ketahui nafsu ada tiga, iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawwamah dan nafsu ammarah. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Sesuatu yang dia lakukan atau dia khayalkan siang hari atau menjelang tidurnya selalu menjelma ketika tidurnya. Atau mimpi makan ketika diri sedang lapar, mimpi di aniayai orang ketika sedang sakit dan sebagainya. Mimpi seperti ini tidak mempunyai erti sama sekali.
Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya ; "Mimpi itu ada tiga, mimpi daripada Allah (mimpi yang baik), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi." (Hadis Riwayat Ahmad)
Soalan no. 104
Bismillahirrahmanirrahim
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Mohon pencerahan, jatuhkan talak sekiranya suami menceraikan isteri semasa isteri berada dalam Haid ?
- Mohd Zuki Seman.
Jawapan :
Waalakaumusslaam Mohd Zuki Seman menceraikan isteri ketika haid hukumnya haram tetapi talaknya tetap jatuh. Suami akan berdosa kerana menceraikan isteri ketika haid.Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talak itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi, apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya agar segera ruju' kembali. Ini bererti talaknya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )
Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talak tidak jatuh dan tidak sah, sebab talak itu samasekali tidak menurut aturan syara' dan tidak dibenarkan. Oleh keranaitu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah?
Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan 'iddah, maka dia boleh merujuknya.
Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis 'iddah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.
Jika si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh ruju' semula dalam tempoh 'iddah.
Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.
Oleh kerana itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan orang lain secara syar'i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
Soalan no. 105
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum , Ustaz saya ada soalan kemusykilan yang ingin ditanyakan kepada Ustaz..Kalau kita nak tidur kenapa saya ada terdengar satu suara, lepas tu saya lihat adakah ia satu gangguan.
Dan bila kita dah terlelap mesti terkejut apabila nak tidur.. mohon pencerahan?
- Muhammad Solihin Burhanuddin.
Jawapan :
Waalakaumussalam Muhammad Solihin Burhanuddin Apabila saudara hendak tidur ada terdengar suara atau terlihat sesuatu bayangan sebelum terlena (waktu ketika separuh sedar) itu adalah gangguan daripada jin kafir atau syaitan. Sebaik-baiknya saudara sebelum tidur ambil wuduk dan solat witir 1 rekaat dan melakukan adab-adab tidur, insya Allah gangguan tersebut ada dapat di atasi.
Adab-adab Tidur
Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktiviti yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk boleh melakukan aktiviti pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur. Di antara adab tersebut adalah:
1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat Isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi SAW tidak menyukai tidur sebelum solat Isya dan berbincang-bincang setelahnya.
2. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.
4. Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)
5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari).
7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda baginda kepada Ali bin Abi Thalib dan isterinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali”
(Hadis Riwayat Bukhari).
9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200. (Hadis Riwayat Bukhari).
10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berdzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. " (Hadis Riwayat Muslim).
12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)” (Hadis Riwayat Bukhari).
Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment