Assalamualaikum ustaz saya nak tanya..kalau seorang wali yang tak pernah solat biasa dan solat Jumaat lebih dari 3 kali tak pergi..dah kire jatuh fasik..jadi bagaimana untuk dia nak jadi wali untuk adik perempuannya..adakah boleh utk dia jadi wali..
- Mawar Berduri.
Jawapan :
Waalakaumussalam Mawar Berduri : Jika seorang wali nikah tak solat maka dia akan menjadi orang fasik, orang fasik tak sah menjadi wali nikah di dalam Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.. Tetapi sekarang ini peraturan Pejabat Agama sebelum majlis akad nikah semua wali nikah, saksi-saksi dan pengantin lelaki kena mengucap dua kalimah syahadah, bertaubat dan berselawat ke atas Nabi SAW. Di harapkan Allah SWT menerima taubat mereka semua dan pernikahan tersebut sah.
ADAKAH SYARAT WALI MESTI TIDAK FASIK & ADIL?
Berlaku perselisihan besar antara ulama dalam mensyaratkan adil dan tidak fasik bagi wali nikah.
PERNDAPAT PERTAMA:
Yang sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali: Disyaratkan wali yg adil. kalau wali fasik, hak kewalian itu berpindah kepada wali yg lebih jauh.
Syarat ini (sebagimana kata Ibn Abdil Hadi) diambil daripada dua HADIS DHOIF; iaitu:
Hadis Pertama :
عن ابن عباس قال قال رسول الله لا نكاح إلا بولي وشاهدي عدل وأيما امرأة أنكحها ولي مسخوط عليه فنكاحها باطل
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yg adil. mana-mana wanita yang dinikahkan oleh wali yg dimurkai, maka nikahnya batal”.
(Hadis Riwayat Daruqutni 3/221 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra 7/124)
Status Hadis :
1. Kata Daruqutni: Hadis ini disandarkan kepada Nabi secara marfuk oleh Adiy bin Al-Fadhl, dan orang lain tiada seorang pun yang menyandarkannya.
2. Kata Baihaqi: Adiy bin al-Fadhl (perawi) adalah dhaif. Yang sahihnya hadis ini mauquf (kata-kata Ibn Abbas).
3. Kata Ibn Hajar: Adiy adalah perawi dhaif. (Talkhis Habir 3/162).
4. Ibn Jauzi menyebut: “Dalam hadis ini ada perawi bernama Adiy. Kata Yahya (Bin Maien): Dia bukan thiqah dan hadisnya tidak ditulis. Kata Abu Hatim al-Razi: Ditinggalkan hadisnya.” (AL-Tahqiq 2/292).
Hadis Kedua :
لا نكاح إلا بولي مرشد وشاهدي عدل
Maksudnya: “Tiada nikah melainkan dengan wali yg mursyid, dan dua saksi yang adil”.
Takhrij Hadis :
1. Syafie dalam musnadnya m/s 220 daripada Ibn Abbas secara mauquf.
2. Baihaqi dalam Sunan Kubra 7/112 daripada jalur Imam Syafie.
3. Manakala riwayat secara marfuk (disandar kpd Nabi) adalah dhaif sebagaimana dijelaskan oleh Baihaqi 7/124, Ibn Hajar dalam Talkhis 3/162, Ibn Jauzi dalam al-Tahqiq 2/291.
PENDAPAT KEDUA:
Mazhab Hanafiyyah dan Mazhab Malikiyyah tidak mensyaratkan sifat adil bagi wali. Dan ini dipilih oleh sebahagian ulama syafie, dan ulama hanbali.
Malahan kata Ibn Taimiyyah: “Kebanyakan fuqaha mengesahkan pernikahan oleh wali yg fasik”.(Majmuk Fatawa 32/66).
Dan dipilih juga oleh Syeikh Ibn Sa’diy (tok guru Uthaimin), katanya: "Yang benar dan diputuskan ialah sifat adil bukanlah syarat bagi wali nikah, maka wali yg fasik boleh menikahkan anak perempuannya. (al-Mukhtarat m/s 4).
PENYELESAIAN.
1. Sekiranya belum berlaku pernikahan, maka si wali yang fasik secara zahirnya hendaklah diminta supaya bertaubat. apabila dia bertaubat, maka sah kewaliannya terhadap anak perempuannya tanpa khilaf.
2. Sekiranya telah berlaku pernikahan oleh si wali yg fasik secara zahirnya, maka dalam kes sebegini, adalah lebih wajar dipegang pendapat kedua, iaitu SAH NIKAH tersebut, kerana:
a. Dalil mensyaratkan wali yg adil adalah dhaif.
b. Kebanyakan ulama mengesahkan pernikahan oleh wali fasik.
c. Jika dihukum nikahnya batal, banyak mafsadah dan mudarat yang akan menyusul.
d. Kes sebegini adalah dalam lingkungan ijtihadiyyah, dan juru nikah dan qadhi harus menghukum berdasarkan maslahah selain daripada dalil yg rajih.
Wallahu a’lam.
Rujukan :
1. Raudhah talibin 7/64
2. Majmuk fatawa ibn taimiyyah 32/66
3. Al-Mukhtarat al-Jaliyyah m/s 4
4. Al-Hawi al-Kabir 9/62
Soalan no. 42 .
Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanya apakah itu "wafaq"? Adakah dalam perubatan islam kita menggunakannya untuk penyembuhan? Mohon penjelasan dari ustaz. Terima kasih ustaz!
- Noormaya Sofa Othman.
Jawapan :
Waalakaumussalam Noormaya Sofa Othman maksud wafaq adalah tulisan ayat-ayat al-Quran atau zikir yang di tulis di kain atau kertas di jadikan sebagai tangkal. Dalam rawatan cara perubatan Islam adalah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, selawat, zikir dan doa. Bacaan boleh di lakukan terus kepada pesakit atau di bacakan ke atas air untuk di minum dan di buat mandi.
Namun, para ulama berbeza pendapat tentang hukum menggantungkan azimat dan tangkal yang mengandungi nama-nama Allah dan sifatNya, ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang ma’thur. Ada yang mengharuskannya dan ada yang mengharamkannya.
Pandangan jumhur ulama yang mengharamkannya lebik kuat lagi daripada yang mengharuskannya, kerana bimbang pergantungan kepada azimat (wafaq) tersebut boleh mendatangkan syirik dan hilang pergantungan kepada Allah SWT.
Ulama yang mengharamkan pemakaiannya adalah terdiri dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Huzaifah, Uqbah Ibnu ‘Amir, Abdullah Ibnu ‘Akim dan para pengikut mereka dari kalangan tabi’in. Mereka mengatakan bahawa hadis berkenaan larangan memakai tangkal dan azimat adalah mencakupi semua jenis tangkal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa sallam mengisyaratkan tentang azimat dan hukumnya. Kata Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa sallam bersabda:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّماَئِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna adalah syirik.” (HR. Imam Ahmad di dalam Musnad 1/381, Abu Daud di dalam Sunan-nya 7/630, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak 4/217, 418, At-Tabrani di dalam Al-Kabir 10503, dan Al-Baihaqi di dalam Sunan Al-Kubra 9/350) Oleh kerana perbuatan memakai tangkal dan azimat merupakan perbuatan syirik, maka amal ibadah pemakainya secara automatik akan tertolak dan kebaikan yang sudah dilakukan sebelum ini juga akan terhapus ibarat debu yang berterbangan. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 88 yang bermaksud: “Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.”
Rasulullah SAW sendiri pernah menolak untuk membai’ahkan seorang lelaki yang memakai tangkal besi kuning di lengannya. Ini dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir Al-Juhaniyy: Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”
Dalil-dalilnya adalah dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah Shallallahu’Alaihi Wasallam bersabda:
من تعلق شيئا وكل إليه
Maksudnya, “Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)
Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’Alaihi Wasallam melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:
ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا
“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (HR. Imam Ahmad)
Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, dalam hadis yang marfu’, Rasulullah Shallallahu’Alaihi Wasallam bersabda :
من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له، وفي رواية : من تعلق تميمة فقد أشرك
“Barang siapa yang menggantungkan Tamimah* maka Allah tidak akan mengkabulkan keinginannya, dan barang siapa yang menggantungkan Wada’ah* maka Allah tidak akan memberikan ketenangan kepadanya.” Dan di dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah berbuat kesyirikan.” (HR. Imam Ahmad)
*Tamimah adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak sebagai penangkal atau pengusir penyakit, pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki seseorang, dan lain sebagainya.
*Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, menurut anggapan orang orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat. (Lihat Kitabut Tauhid karya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah, Fathul Majid 1/650)
Soalan no. 43.
Asalamualaikum ustaz kalau wali tu masa nak akad memang dia kena taubat mengucap dan sebagainya tapi lepas 2-3 hari je tu dia buat perkara macam biasa balik sembahyang ikut suka tak ikut perintah Allah macamana?
-Mami Min.
Jawapan :
Waalakaumussalam Mami Min semuanya bergantung kepada niat seseorang, di harapkan dia bertaubat bersungguh-sungguh pada masa akad nikah dan dia menjadi wali yang bukan fasik dan pernikahan tersebut sah. Jika selepas 2-3 hari wali tersebut kembali kepada peribadinya sebelum itu sembahyang ikut suka dia sahaja maka itu urusan dia dengan Allah SWT. Saudari kena banyak berdoa semuga dia mendapat taufik dan hidayah dan melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Soalan no. 44.
Assalamualaikum ustadz. Saya punya gajih 4 juta rupiah. 2/3 dari itu dipotong untuk membayar cicilan rumah. Zakat yang harus dikeluarkan dari 4 juta atau dari uang yang saya terima sisanya. Sebelumnya terima kasih.
- Dedeh Kusniata
Jawapan :
Waalakaumussalam Dedeh Kusniati Dalam Islam zakat adalah rukun Islam yang ke 4 wajib di tunaikan jika harta tersimpan selama setahun Hijrah dan cukup nisabnya sama dengan nilai emas 85 gm atau lebih.
Jika wang gaji puan tak cukup nisab maka puan tak wajib membayar zakat.. Jika di negeri Selangor Malaysia wang yang wajib di zakatkan kadar minima nisabnya pada tahun 2015 (Januari -Jun 2015) adalah RM 11, 145.
Soalan no. 45
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Ustaz, mohon pandangan. Kawan lelaki saya tinggi sorang diri dirumah besar , 2 tingkat 5 bilik. Dia rasa seram, kekadang macam ada benda lain dirumah. Dia suka Sembahyang isyak agak lewat. Kekadang semasa berwirid dia dengar orang naik tangga Dan berhenti Di luar biliknya, disusuli dengan bau yang harum Dan wangi. Pada pukul 5.00 pagi Dia akan selalu dikejut kan untuk Bangun.
- Mohd Zuki Seman
Jawapan :
Waalakaumussalam Mohd Zuki Seman : Rumah tempat tinggal samaada besar atau kecil apabila sering di lakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT adalah rumah yang di berkati dan akan di hadiri oleh para malakat rahmat mendoakan tuan rumah yang sering solat dan membaca al-Quran. Syaitan atau jin-jin kafir tidak suka rumah yang di bacakan ayat-ayat Allah SWT terutama surah al-Baqarah dan surah Ali- Imran. Rumah yang baik juga rumah yang sering di adakah majis ilmu dan sentiasa menerima tetamu terutama orang miskin. (mengadakan majlis jamuan).
Perlu di ingatkan juga malaikat rahmat tak akan masuk rumah yang ada di dalamnya terdapat gambar atau patung makhluk bernyawa yang di jadikan perhiasan.Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Dari Aisyah r.ha : Nabi SAW bersabda maksudnya , “Orang yang ahli (mahir) dalam Al-Quran akan bersama dengan para malaikat yang mulia lagi benar. Orang yang terbata-bata (merangkak-rangkak) dalam membaca Al-Quran dan dia bersusah payah mempelajarinya, untuknya pahala dua kali lipat.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud no. 1454).
Nabi SAW bersabda maksudnya, " Jangan jadikan rumah-rumah kalian kuburan. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang di dalamnya di bacakan Surah al-Baqarah" (Hadis Riwayat Muslim).
Jika terdapat bunyi sesuatu atau bau wangi jangan di kisahkan teruskan beribadah kerana sesungguhnya para malakat dan jin islam akan berada di rumah seorang muslim yang bertakwa sebagaimana jin kafir dan syaitan akan suka di rumah orang kafir dan orang fasik.
No comments:
Post a Comment