Saturday, March 28, 2015

Tazkirah & Soal Jawab Agama Siri 5 (Hukum Anak Tidur di Bilik Ibu, Mendoakan Saudara Yang Berjauhan, Solat Qada Di Utamakan, Aurat Wanita -Kepala Seperti Bongol Unta Dan Tafsir Surah al-Baqarah Ayat 266)

Soalan no. 21

Assalamualaikum ustaz...Ada pertanyaan minta pencerahan dari ustaz dan rakan-rakan. Nak tanya pendapat ante n kawan2 ante tentang masalah ni. Apa hukum anak lelaki tidur sebilik dgn ibu. Sbb ibu takut nk tidur seorang. Rumah besar. Sunyi dan takut katanya. Ibu tidur atas katil. Manakala anak lelaki tidur di lantai sebelah katil ibu. Adakah hukumnya haram. Anak lelaki usia 18 tahun.T.kasih.
- Sikin Ghani.

Jawapan :

Waalakaumussalam Sikin Ghani Islam mempunyai peraturan dan adab-adab yang perlu di patuhi oleh ibu bapa dan anak-anak di dalam pergaulan harian di dalam rumah. Anak lelaki dan perempuan yang telah berumur 10 tahun perlu di pisahkan tempat tidur. Maksudnya anak lelaki, anak perempuan dan ibu bapa perlu tidur barasingan tidak boleh tidur sebilik.

Hadis Rasulullah SAW yang menyuruh dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan ialah sepertimana di bawah :

مروا أولادكم بالصلاة لسبع، واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع

“Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan)solat pada umur 7 tahun.Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun , dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad , Abu Daud dan al-Hakim)

Hadis ini jelas menyuruh kita agar memisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan apabila mereka berusia 10 tahun.

Ini kerana , pada masa itu kebanyakkan daripada anak perempuan telah pun mencapai usia baligh.Apabila ini berlaku , dibimbangi perbuatan atau perkara-perkara keji yang diilhamkan oleh syaitan akan berlaku antara mereka.

Kanak-kanak diperingkat ini juga mula beralih kepada alam remaja yang mana pada masa tersebut terlalu banyak perkara-perkara baru yang ingin mereka cuba lakukan dan alaminya sendiri.

Apa pun , antara hikmat terbesar suruhan Rasulullah SAW itu ialah , untuk menghindari daripada mereka terjebak dalam melakukan perkara-perkara mungkar yang dilarang dalam Islam seperti sumbang mahram dan sebagainya.

Pemisahan tempat tidur itu juga mestilah dilakukan pada katil dan juga bilik.Ini kerana , tidak ada gunanya memisahkan katil / tempat tidur tetapi masih dalam bilik yang sama.Perbuatan mungkar tetap akan berlaku , lebih-lebih lagi jika dalam bilik tersebut hanya terdapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Wallahu a'lam

Ibu tidak boleh tidur dengan anak lelaki yang berumur 18 tahun kerana terdapat larangan khusus daripada Allah SWT di dalam al-Quran : Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh antara kamu meminta izin kepada kamu (sebelum masuk kepada kamu) dalam tiga masa: iaitu sebelum solat subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah solat isyak. Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya) dan mereka tidaklah bersalah kemudian dari masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang yang tersebut dahulu meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nur ayat 58-59)

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa rumah dan segala isinya merupakan 'harta' yang menjadi benteng maruah kepada sesebuah keluarga. Bilik tidur pula menjadi benteng terakhir yang harus dijaga adab-adabnya. Oleh itu anak-anak yang masih kecil mahu pun yang telah dewasa harus dididik menghargai dan menghormati tempat tidur ibubapa, terutama waktu-waktu ibu bapa beristirehat. Justeru itu anak-anak apabila mahu berbicara dan meminta sesuatu, mereka dikehendaki memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu. Allah SWT. menjelaskan bahawa tempoh tiga waktu yang wajib dijaga ini disebabkan ruang untuk mereka mendedahkan aurat agak tinggi. Tiga waktu yang dimaksudkan di atas ialah :

1. Sebelum solat Subuh. Waktu ini ialah waktu ketika ibubapa kemungkinan sedang tidur. Atau ketika ini juga kemungkinan adalah waktu ibubapa sedang bangun dari tidur. Justeru anak-anak harus diajar agar mengetuk pintu bilik ibubapa sebelum masuk. Waktu inilah waktu 'persendirian' bagi ibubapa. Mungkin ketika itu peratusan aurat mereka terdedah sangat tinggi. Oleh itu anak-anak dilarang mengganggu ibubapa.

2. Sekitar sebelum waktu Zuhur. Waktu Zuhur ini juga disebut sebagai waktu 'Qailulah' iaitu antara waktu yang disunatkan untuk tidur sebentar. Ketika ini kemungkinan ibu bapa sedang berehat, sedang tidur atau bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur. Anak-anak sewajarnya meminta izin sebelum masuk ke dalam bilik ibubapa demi mengelakkan aurat ibu bapa terdedah kepada anak-anak.

3. Selepas Isyak. Waktu seperti ini biasanya ibu bapa sedang bersiap-siap untuk tidur. Atau kemungkinan salah seorang daripada mereka sedang berehat, bersantai atau tidur di dalam bilik. Anak-anak sewajarnya diajar supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk supaya kehormatan ibu bapa terpelihara.

Soalan no. 22.

Ustaz..apa maksud mendoakan seseorang secara diam tanpa pengetahuan saudaranya itu lebih baik? -Nurul Asyikin.

Jawapan :

Nurul Asyikin maksud hadis tersebut bahawa kita berdoa selepas solat atau di malam hari selepas solat tahajud untuk kebaikan dan kesejahteraan sahabat kita yang berada berjauhan tanpa kita memberitahunya. Contoh : sahabat kita belum berkahwin maka kita berdoa "Ya Allah Engkau pertemukanlah jodoh pada sahabatku Yati binti Dollah dengan lelaki yang soleh lagi bertakwa. Kau berikanlah kebahagiaan hidupnya di dunia dan akhirat". Jika kita sms pada sahabat kita memaklumkannya kita nak doakan untuknya " Yati malam ini saya nak doakan untuk Yati" - maka tindakkan ini sudah tak menjadi doa yang mustajab kerana kita ada memberitahu padanya.

Soalan no. 23

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Mohon pencerahan. Betul ke adalah lebih qada' sembahyang fardu dulu, sebelum buat sembahyang sunat? - Mohd Zuki Seman.

Jawapan :

Waalakaumussalam Mohd Zuki Seman : Jika kita masih ada solat fardu yang di tinggalkan belum di qada' maka utamakan solat qada'. Sebahagian ulama tidak membenarkan solat sunat (jika masih ada solat qada') tetapi Mazhab Hanafi masih membenarkan solat sunat yang muakkad seperti solat dhuha, witir, tahajud dan rawatib yang 10 rakaat. (2 rakaat sebelum dan 2 rakaat selepas zuhur, 2 rakaat selepas magib, 2 rakaat selepas isyak dan 2 rakaat sebelum subuh). Solat qada' boleh dilakukan bila-bila masa termasuk waktu yang di larang seperti lepas subuh dan lepas asar. Oleh itu tunaikan segera solat qada' pada masa yang sama jangan tinggalkan terus solat sunat yang di tuntut.

Ada sebahagian ulama yang berpendapat tak perlu qada' solat fardu yang tertinggal tetapi jumhur ulama termasuk empat imam mazhab menyatakan wajib mengqada'kan solat fardu yang di tinggalkan kerana berdasarkan hadis sahih baginda SAW mengqada' solat sunat yang di tinggalkan maka lebih-lebih lagi jika ada solat fardu yang di tinggalkan maka lebih-lebih lagi perlu di qada'kan solat tersebut.

Hukum qada’ solat :

Meninggalkan solat fardu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib diqada’kan solat itu.

Solat sunat sebelum Asar boleh di kerjakan tetapi solat sunat ini bukan solat sunat yang sangat di tuntut. Nabi SAW ada mengerjakannya dan ada kalanya baginda meninggalkannya.Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua jenis, iaitu Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah.

Solat Sunat Rawatib Qabliyyah adalah solat sunat yang didirikan sebelum kita mendirikan solat fardu. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah pula didirikan selepas kita menunaikan solat fardu.

Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, 
Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :

1. dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
2. dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
3. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
4. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
5. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya dibandingkan dengan solat sunat muakkad tetapi pengamal tetap dijanjikan ganjaran apabila melakukan solat ini.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad terdiri daripada

1. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
2. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur
3. empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar
4. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib
5. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak

Soalan no. 24 : 

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Ustaz, Mohon pencerahan. Perempuan memang Tak boleh Pakai Macam nie ker?' Di kepalanya nampak seperti bonggol unta? 

- Mohd Zuki Seman .





Jawapan :

Waalakumussalam Warahmatulahi Wabarakatuh Mohd Zuki Seman : Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : 

"Dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya (wujud) iaitu kaum yang bersama mereka itu cemeti-cemeti seperti ekor lembu memukul manusia dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang. Mereka itu mengajak manusia menjauhi perintah Allah dan mereka sendiri menjauhi perintah Allah. Kepala mereka seakan-akan bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka (dua golongan) ini tidak akan masuk ke syurga dan tidak pula mendapat baunya, sedangkan baunya dapat dihidu dari jarak sekian dan sekian."
[HR Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dalam al-Kubra, dan al-Tabrani dalam Mukjam al-Awsat]

dan dalam hadis yang lain : Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid, Wanita-wanita mereka (isteri atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (berpakaian nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula (wanita), terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu, laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat."
[HR Ahmad, jil. 2, ms 223]

Dua hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa tudung yang di pakai oleh kaum wanita nampak bentuk sanggulnya (seperti bonggol unta) , tudung pula nipis , jarang dan kecil (tidak menutup dada). Baju dan seluar yang di pakai pula ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badannya. Nabi SAW menjelaskan pakaian seperti ini adalah seperti bertelanjang, sama seperti tak menutup aurat. Wanita perlulah sedar fesion pakaian seperti ini akan mendapat laknat Allah SWT dan mereka tak akan mencium bau syurga. Amat rugi dengan pakaian seperti ini sepanjang masa wanita keluar rumah mendapat dosa besar dan setiap lelaki yang memandangnya wanita tersebut akan mendapat dosa. Jika berterusan memakai pakaian seperti ini setiap hari menghimpun dosa untuk diri sendiri dan memberikan saham dosa kepada lelaki yang bukan mahram yang melihatnya.

Soalan no. 25.

Assalamualaikum, ustaz. Boleh tolong jelaskan maksud ayat ini :
Al-Baqarah:266 - Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar). - Raja Faziliaton Raja Abdullah.

Jawapan :

Waalakaumussalam Raja Faziliaton Raja Abdullah : Firman Allah SWT :

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ (266) 

Maksudnya, "Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya".(Surah al-Baqarah ( 2) ayat 266)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT. memberikan perumpamaan pula bagi orang yang menafkahkan hartanya bukan untuk mendapatkan redha Allah melainkan kerana riyak, atau sedekahnya disertai dengan ucapan-ucapan yang melukai perasaan orang yang di berikan sedekah, atau ia suka menyebut-nyebut sedekah yang telah diberikannya. Orang ini diumpamakan sebagai seseorang yang mempunyai sebidang kebun yang berisi bermacam-macam tumbuh-tumbuhan, dan kebun itu mendapatkan air yang cukup dari sungai yang mengalir sehingga kebun itu menghasilkan buah-buah yang banyak. Dan orang tersebut sudah lanjut usianya, dan mempunyai anak-anak dan cucu-cucu yang masih kecil-kecil yang belum dapat mencari rezeki sendiri. Dengan demikian, orang itu dan anak-cucunya sangat memerlukan hasil kebun itu. Tapi tiba-tiba datanglah angin ribut yang panas, sehingga pohon-pohon dan tanaman-tanaman menjadi rosak tidak mendatangkan hasil apa pun padahal ia sangat mengharapkannya. 

Demikianlah keadaan orang yang menafkahkan hartanya bukan kerana Allah SWT. Ia mengira akan mendapatkan pahala dari sedekah dan infaknya. Akan tetapi yang sebenarnya bukanlah demikian. Pahalanya akan hilang lenyap kerana niatnya yang tidak ikhlas. Dia berinfak hanya kerana riyak, mengikuti bisikan syaitan. Bukan kerana mengharapkan redha Allah SWT.

Dengan keterangan-keterangan dan perumpamaan yang jelas ini Allah SWT menerangkan ayat-ayat-Nya kepada hamba-Nya semoga mereka berfikir dan dapat mengambil iktibar dan pelajaran dari perumpamaan-perumpamaan itu.







No comments:

Post a Comment