Sunday, March 29, 2015

Tazkirah & Soal Jawab Agama Siri 7 (Hukum Simpan Teddy Bear, Solat Jamak dan Qasar, Hukum Wanita Menjadi Ketua Dan Hadis Tak Sahih - Air Mata Perempuan)

Soalan no. 31

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh ustaz.
Apa hukum menyimpan patung teddy bear ? Adalah ianya dikira binatang Dan malaikat Tak masuk rumah ? Macam mana pula patung permainan Kanak2?
 - Mohd Zuki Seman.

Jawapan : 

Waalakaumussalam warahmatulahi wabarakatuh Mohd Zuki Seman : Teddy bear untuk mainan kanak-kanak tidak menghalang malaikat rahmat masuk ke rumah. tetapi tedy bear besar untuk remaja perempuan atau perempuan dewasa di larang berada di rumah kerana malaikat rahmat tak masuk rumah yang ada gambar dan patung binatang.Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada :

Pertama : Gambar, Kedua : Patung, Ketiga : Anjing dan Keempat : Orang yang junub.
Dalam hadis yang lain menyatakan. Dari Abu Talha meriwayatkan, katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau patung”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian & Perhiasan, no. 5250).

Patung manusia atau patung haiwan diharamkan dijadikan barang perhiasan diletakkan di dalam atau atas almari. Malaikat rahmat tidak akan masuk rumah di dalamnya terdapat patung makhluk bernyawa. Tetapi patung mainan kanak-kanak diharuskan (patung mainan tersebut setelah digunakan kanak-kanak hendaklah disimpan dikotak permaian bukannya dipamerkan) berdasarkan hadis riwayat Aisyah.

Dari Aisyah radiyallahu ‘anha (r.anha) ia berkata: “Saya biasa bermain boneka (anak patung) di sisi Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasalam dan saya mempunyai beberapa orang teman yang bermain bersama saya. Maka jika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam masuk, mereka menutupinya dari baginda lalu berjalan sembunyi-sembunyi dan bermain bersama saya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab al-Adab Bab al-Inbisaath ilaa an-Naas, Fath 10/526 dan Muslim kitab Fadhail ash-Shahabah Bab fii Fadhail Aisyah, an-Nawawi, 15/203 dan 204)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Fathul Bari tentang hadis ini, “Hadis ini dijadikan dalil bolehnya boneka dan mainan untuk bermain (mendidik) anak perempuan, dan sebagai pengkhususan dari keumuman larangan mengambil gambar. Iyadl juga menetapkan yang demikian dan ia menukil dari jumhur, bahawasanya mereka membolehkan boneka atau mainan ini untuk melatih dan mendidik anak-anak perempuan agar mengenal bagaimana mengatur rumah-tangga dan merawat anak-anak nantinya.

Soalan no. 32. 

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh..ustaz..mohon pecerahan tentang dailog ni ye...tqvm - Mariatul Akma.




"Assalamualiakum ustaz, saya ada kem 7 hari di Kelantan, berapa hari saya boleh qasar dan jamak? 3 hari atau selama berada di Kelantan. Saya dari Shah Alam"

Jawapan : 


Waalakaumussalam Mariatul Akma : Dalam mazhab Syafie untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir) :

Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah. (89 kilometer)

Solat yang telah masuk waktunya tetapi belum ditunaikan sebelum memulakan perjalanan tidak boleh diqasarkan kerana dia belum dikatakan sebagai musafir ketika solat tersebut wajib ke atasnya.

Sebagai contoh: Ali mahu pergi ke Johor Bahru, ketika dia hendak bertolak(masih di rumah) waktu zuhur sudah pun masuk, maka dia wajib menunaikan fardu Zuhur bukan menangguhkan solat fardu itu di luar untuk diqasarkan dan dijamakkan dengan Asar. Ini kerana setiap muslim diwajibkan mengerjakan solat fardu apabila masuknya waktu solat.

Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(ia boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).

Anda boleh memilih melepasi kawasan perumahan jika anda tinggal di kawasan taman perumahan atau kampung, ia dikira sebagai kawasan boleh dianggap sebagai kawasan bermukim menurut Imam al-Rafi’ie.

Orang yang masih berada di dalam kawasan pagar qaryahnya atau kawasan bangunan qaryahnya tidak dinamakan musafir. Ini kerana perjalanan tersebut hanya bermula ketika melepasinya dan akan berakhir apabila sampai semula ke kawasan itu. Oleh itu, tidak harus mengqasarkan solat kecuali solat yang wajib atasnya dan melakukannya dalam lingkungan tempoh musafir tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik radiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا وَبِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku menunaikan solat Zuhur bersama-sama Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

*Zulhulaifah terletak di luar kawasan bangunan Madinah.

Hadis di atas menunjukkan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam mengqasarkan solat setelah berada di luar kawasan permukiman, iaitu Nabi tidak bersolat musafir ketika masih berada di Madinah.

Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.

Jika mengikuti imam yang bermukim, anda tidak perlu mengqasarkan solat tetapi boleh berniat jamak dengan solat fardu yang lain dan selepas itu boleh disusuli dengan mengqasarkan solat yang seterusnya.

Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.

Apabila anda berniat menetap selama 7 hari di kem di Kelantan, jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak boleh bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat musafir masih diharuskan semasa dalam perjalanan sahaja. Tetapi jika anda akan tinggal di Kelantan 3 hari sahaja tak termasuk hari sampai dan hari pulang maka sepanjang di Kelantan anda boleh solat jamak dan qasar.

Pendapat yang mengatakan boleh solat jamak dan qasar lebih daripada 3 hari :

Sebahagian ulama berpendapat boleh solat jamak dan qasar melebihi 3 hari berdasarkan hadis-hadis yang sahih yang pernah di lakukan oleh Rasulullah SAW. Kita telah dimaklumkan ketetapan as-Sunah bahawa Rasulallah SAW apabila bermusafir mengqasarkan solat-solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat dan baginda juga menjamakkan solat-solat Zuhur dengan Solat Asar, dan solat Maghrib dengan Solat Isyak. Di dalam bahagian ini kita akan teliti berapa harikah boleh dijamak dan diqasarkan solat?

(a) Mengqasar dan Menjamakan Selama 9 hari

Mengikut hadis di bawah ini pula, Jabir mengatakan bahawa Nabi SAW musafir dan menetap di Mekah untuk sesuatu tujuan pada 4 Zulhijjah, kemudian kembali ke Medinah selepas habis musim haji (yakni, 13 Zulhijjah). Sepanjang tempoh tersebut baginda menqasarkan solat fardunya – iaitu selama sembilan (9) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah (r.a) di dalam sekumpulan manusia (yakni, orang-orang), berkata: ‘Telah datang Nabi SAW ke Mekah pada tanggal 4 telah lewat dari bulan Zulkhijjah.’ [Hadis Riwayat Ibnu Majjah]

(b) Menjamak dan Mengqasar Selama 10 Hari

Hadis berikut pula daripada Anas (r.a) yang menyatakan bahawa beliau bersama-sama dengan Rasulallah SAW bermusafir dari Madinah ke Mekah dan menetap di Mekah selama sepuluh (10) hari. Semasa menetap di Mekah mengqasarkan solat fardunya dua rakaat dua rakaat. Yakni, boleh diqasarkan solat kerana musafir itu selama 10 hari.

Diceritakan hadis daripada Yazib bin Zurai’in dan Abdul A’la, berkata kedua-duanya: ‘Menceritakan kepada mereka hadis itu daripada Abi Ishak, daripada Anas (r.a), berkata: ‘Keluar aku beserta Rasulallah SAW dari Madinah (pergi) ke Mekah. Maka bersolat kami (mengqasarkan solat) dua rakaat dua rakaat sehingga kembali kami (ke Madinah). Berkata Yahya: ‘Berapa lama dia menetap di Mekah?’ Berkata Anas (r.a): ‘Sepuluh (10) hari’. 
[Hadis Riwayat Ibnu Majjah]

(c) Jamak dan Qasar 13 hari

Sebagai permulaannya, mengikut hadis berikut dilapurkan bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama tempoh tiga belas (13) hari, yakni, sepanjang bulan Zulhijjah sampai hari tasyrik, iaitu tiga belas (13) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Abdul Rahman bin Humaidin az-Zuhri berkata: ‘Bertanya aku kepada Saib bin Yazid: ‘Apakah mendengar engkau dalam diam (yakni, semasa menetap) di Mekah?’ Berkata Sabit: ‘Telah mendengar aku al-‘Ala bin Hadhrami berkata: ‘Bersabda Nabi SAW : ‘Tiga hari kerana bertempat selepas selesai mengerjakan haji.’ [Hadis Riwayat Ibnu Majah]

Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah haji itu bermula waktu Wukuf di Arafah, iaitu tanggal 10 Zulhijjah, kemudian disambung pula mengqasarkan solat tiga hari lagi, menjadikannya tiga belas (13) hari. Hadis di atas menjelaskan bahawa solat jamak dan qasar itu dilakukan oleh Rasulallah SAW selama 10 hari pada musim haji baginda.

(d) Menjamak dan Mengqasarkan Solat 15 Hari

Di dalam hadis berikut kita diberitahu oleh Abdullah bin Abbas (r.a) bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama lima belas (15) hari:

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama lima belas (15) hari di Mekah selepas peperangan dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (yakni, empat rakaat dijadikan dua rakaat).’ [Hadis Riwayat Abu Daud]

Di dalam hadith di bawah ini pula katanya dia dan Rasulallah SAW menetap kerana musafir di Mekah selepas menang satu peperangan selama lima belas (15) hari mengqasarkan solat fardu sepanjang tempoh mereka menetap di Mekah itu.

Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah SAW bertempat di Mekah selepas menang perang (selama) lima belas (15) malam, mengqasar dia akan solatnya.’ [Hadis Riwayat Ibnu Majjah]

(e) Qasar dan Jama’ Selama 17 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula, ibnu Abbas (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah SAW mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama tujuh belas (17) hari. Selain itu, Ibnu Abbas (r.a) juga memberitahu satu prinsip yang lain, iaitu jika orang tempatan (yakni, qariah tersebut), tidak boleh mengqasarkan solatnya.

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawa Rasulallah SAW berhenti (yakni, bermukim sementara) di Mekah selama tujuh belas (17) hari dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (menjadi dua rakaat). Berkata Ibnu Abbas (r.a) : ‘Sesiapa yang berhenti sementara hendaklah memendekkan solatnya, dan sesiapa yang tinggal melebihi jangka waktu itu hendaklah bersolat sempurna (yakni, dibuat empat rakaat).’ [Hadis Riwayat Abu Daud]

Hadis di atas itu memberikan nas dan dalil syariat bahawa mereka yang didalam musafir boleh mengqasar dan menjamakkan solatnya selama tujuh belas (17) hari manakala orang yang bermukin di tempat tersebut tidak boleh menjama’ dan mengqasarkan solat mereka.

(f) Menjama’ dan Mengqasarkan 18 Hari

Di dalam hadis dibawah ini diceritakan oleh seorang sahabat, Imran, bahawa Rasulallah SAW pernah mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama lapan belas (18) hari. Tetapi, orang qariah tersebut (yakni, tempat dia berhenti rehat sebentar itu) tidak boleh memendekkan solat-solat fardunya.

Diriwayatkan hadis daripada Imran bin Husain (r.a) berkata: ‘Aku di dalam musafir dengan Rasulallah SAW selepas satu penaklukan. Baginda tinggal di Mekah selama delapan belas (18) hari dan bersolat dia dua-dua rakaat setiap solat (yakni, mengqasarkan solat fardunya). Maka bersabda baginda (yakni, Rasulallah SAW : ‘Kamu yang tinggal (yakni, bermestautin) di sini hendaklah bersolat empat rakaat, kami pengembara (yakni, dalam musafir).’ 
[Hadis Riwayat Abu Daud]

Hadis di atas menyebutkan prinsip yang sama sebagaimana disebutkan di dalam hadis sebelumnya, yakni hadis riwayat Ibnu Abbas (r.a) itu. Kemudahan hanya kepada mereka yang bermusafir.

(g) Menjamak dan Mengqasar 19 Hari

Di dalam hadis Ibnu Abbas (r.a) di bawah ini, dia bersama-sama dengan Rasulallah SAW menetap selepas musafir di Mekah selama sembilan belas (19) hari. Sepanjang tempoh tersebut mereka bersolat fardu dengan mengqasarkannya dua rakaat dua rakaat.

8. Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bermukim Rasulallah SAW sembilan belas (19) hari bersolat dia dua-dua rakaat. Adapun kami ketika bermukim (yakni, bertempat) sembilan belas (19) hari, bersolat kami dua-dua rakaat. Maka ketika bertempat (yakni, bermukim) kami melebihi dari demikian itu, bersolat kami empat rakaat (yakni, mengerjakan solat-solat fardu seperti biasa, tidak dijamak atau diqasarkan).’ 
[Hadis Riwayat Ibnu Majah]

Di dalam hadis Ibnu Abas (r.a) di atas itu baginda dan Rasulallah SAW menjamakkan solat selama 19 hari. Selepas 19 hari mereka membuat solat fardu seperti biasa iaitu empat rakaat setiap solat yang empat rakaat.

(h) Menjama’ dan Mengqasarkan 20 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula diriwayatkan oleh seorang sahabat akrab Rasulallah SAW, iaitu Jabir bin Abdullah (r.a), bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat-solatnya selama dua puluh (20) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama dua puluh (20) hari di Tabuk dan baginda memendekkan solatnya (yakni, empat menjadi dua rakaat sahaja).’ [Hadis Riwayat Abu Daud]

Soalan. no. 33

Assalamualaikum Ustaz. ..apa pandangan /hukum wanita dilantik sebagai Ketua? Seperti saya dilantik sebagai Pengarah Kampus? - Durrishah Idrus.

Jawapan :

Waalaikumussalam Durrishah Idrus : Wanita boleh di lantik menjadi Ketua Pengarah, Ketua Jabatan, Pengetua Sekolah, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Pengerusi Eksekutif, Pengarah Urusan, Naib Canselor, Pengarah Kampus dan sebagainya. Islam tidak membenarkan wanita menjadi ketua negara seperti Khalifah, Presiden, Perdana Menteri kerana jawatan tersebut memerlukan kepimpinan yang tinggi dan hanya layak di sandang oleh kaum lelaki.

Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa bangsa Parsi telah mengangkat Puteri Kisro sebagai ratu, maka sabda Baginda Rasulullah SAW: “Tidak akan berjaya/beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita (mengangkat wanita sebagai pemimpin).” (Hadis Riwayat Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasaie’) 

Begitu juga terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari daripada Abu Bakrah berkata: “Tatkala ada berita sampai kepada Nabi SAW bahawa bangsa Parsi melantik Puteri Kisro (gelaran raja Parsi dahulu) menjadi raja, baginda SAW lantas bersabda, “Suatu kaum itu tidak akan bahagia apabila mereka menyerahkan kepemimpinan mereka kepada wanita”.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 4425). 

Hadis-hadis ini yang menjelaskan wanita tak di benarkan menjadi ketua negara seperti Khalifah, Presiden atau Perdana Menteri. Jawatan lain yang melibatkan ketua pengurusan atau pentadbiran tidak menjadi larangan kerana jawatan tersebut bukan jawatan umum pemerentahan sebuah negara.

Soalan no. 34.

Assalamualaikum ustaz....saya nak bertanya.dalam keadaan sekarang...secara peribadi...apa yg harus saya lakukan...saya yakin...segala apa yg hamba Allah lakukan baik atau jahat Allah akan balas dengan setimpal....saya hanye mampu menentang dlm diam....n saya yakin dgn janji Allah. Bagaimana untuk saya berhadapan dengan penguasa yg zalim...-Teratai Violet.

Jawapan :

Waalakaumussalam Teratai Violet : Jika kita berhadapan dengan kemungkaran jika kita mampu gunakan tangan atau kuasa kita maka gunakanlah, jika tak mampu maka berikan nasihat iaitu gunakan lidah dan jika tak mampu maka benci di dalam hati, ini adalah selemah-lemah iman dan tak ada lagi imam selepas ini. 

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah SAW. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman."

Soalan no. 35.

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Mohon pencerahan mengenai ini  - Mohd Zuki Seman 



Jawapan :

Waalakaumussalam warahmatullahi wabarakatuh kata-kata tersebut bukan hadis sahih dan tidak terdapat di dalam mana-mana kitab hadis yang sahih. Jangan di sebarkan. Wallahu a'lam





No comments:

Post a Comment