Monday, March 23, 2015

Tazkirah & Soal Jawab Agama Siri 4 (Ikut Mazhab Lain, Hukum Terima Demokrasi, Makhluk Ghaib Sebelum Nabi Adam a.s Dan Kebaikan Poligami)

Soalan no. 16. 

Assalamualaikum ustaz.. saya ada beberapa soalan :

1- Rakyat malaysia memang diketahui memegang mazhab syafi'e, adakah menjadi satu kesalahan jika seseorg berpegang kepada mazhab selain syafi'e?

2- Apakah hukum jika kita beramal menggunakan hadis dhaif tapi kita tak menyebarkan kepada orang lain, hanya sekadar untuk diri sendiri. 

- Syah Matt Danger



Jawapan : 

Waalakaumussalam Syah Matt Danger : Dalam Islam panduan yang perlu kita gunakan adalah Pertama al-Quran, kedua as-Sunah (hadis-hadis Nabi SAW), ketiga, Ijmak ulama dan keempat , Qiyas. Oleh kerana al-Quran dan as-Sunah cukup luas , lengkap dan sempurna dan di turunkan dalam bahasa Arab maka kita perlu kepada ijmak ulama, ijtihad dan penafsiran kepada kedua-dua sumber tadi maka di sinilah perlunya kepada mengikut para imam mazahb (ijmak ulama). Ulama-ulama mazhab adalah mereka yang mampu dan layak berijtihad dan mampu mengeluarkan sumber hukum di dalam al-Quran, as-sunah dan pendapat para sahabaat. (atsar) dan qiyas. 

Adalah satu pendapat yang tidak benar apabila seseorang berkata dia tak perlu mengikut mazhab dan dia nak ikut al-Quran dan sunah sahaja kerana dia sendiri tidak mampu mengkaji dan menafsirkan al-Quran dan sunah Nabi SAW yang memerlukan ilmu dan kepakaran yang tinggi. 

Jika kita peringkat umat Islam awam dan kita tak mampu nak melihat keempat-empat hujah, dalil dan huraian para imam mazhab adalah satu yang memudahkan mengikut satu mazhab sahaja. Di Malaysia majoriti umat Islam berpegang pada mazhab Syafie di dalam ilmu feqah dan memudahkan jika berpegang pada satu mazhab sahaja melainkan ada beberapa hukum daripada mazhab lain yang lebih memudahkan umat Islam boleh di ambil tetapi mereka yang layak mengambil pandangan daripada mazhab lain adalah terdiri daripada mufti, dan Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Fatwa Negeri-negeri dan Jawatankuasa Syariah. Mereka-mereka ini adalah mereka yang arif terhadap hukum-hukum Islam.

2. Untuk menentukan satu-satu hukum samaada ianya perkara wajib, sunat, makruh, haram atau harus maka perlu kepada hadis mutawatir, hadis sahih dan hadis hasan sahaja. Hadis dhaif jumhur ulama mengatakan tak boleh di gunkan untuk menetapkan satu-satu hukum. Hadis dhaif hanya boleh di gunakan untuk menceritakan kelebihan atau kebaikan amal sahaja . Lebih baik kiat beramal dengan hadis sahih kerana jelas amalan tersebut datangnya daripada Rasulullah SAW.

Soalan no. 17 .

Assalamulaikum, apakah hukum demokrasi? Sebab ada sesetengah kelompok @ puak mengatakan haram mengamalkan demokrasi, kerana mereka mengatakan jalan untuk menegakkan Islam hanya melalui jihad sahaja.. Harap ustaz perjelaskan.?

Jawapan : 

Waalakaumussalam Syah Matt Danger : Hukum kita menyertai demokrasi di dalam pilihan raya adalah harus bukan haram kerana terdapat satu kaedah syarak, " menutup mudharat yang besar terpaksa dengan mudharat yang kecil maka kita pilih mudharat yang kecil" Jika kita biarkan orang sekular atau fasik menguasai negara adalah mudhaart yang besar, oleh itu kita terlibat di dalam pilihan raya maka kita telah mengurangkan mudharat yang besar itu jika ada orang mukmin yang berjaya menjadi ahli Parlimen dan boleh memberi tekanan kepada pemerentah supaya Islam dapat di kembangkan di tegakkan di dalam masyarakat kita. Perlu ada check and balance

Terlibat dalam pilihanraya demokrasi adalah berpegang kepada konsep tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :

1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Yang bermaksud : "Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”

Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal .

Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”
Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, organisasi Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan organisasi Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan organisai Islam dalam mana-mana kerajaan atau terlibat di dalam demokrasi seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan organisasi Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian kepada mereka nanti.

Soalan no. 18 

Assalamualaikum ..saya dari Indonesia ingin beri salam kenal kepada kawan-kawan semua. Ustaz, saya mahu bertanya..Mengapa manusia dan makhluk gaib di ciptakan ALLAH SWT, dan apakah benar bumi kita ini sebelum ada manusia yang menempati, ada makhluk lain tidak?

Mohon pencerahannya ustaz jika pertanyaan tersebut ada dalilnya..

Jawapan : 

Waalakaumussalam Suci Ramadhani : Allah SWT telah menciptakan jin dahulu sebelum menciptakan manusia (Nabi Adam a.s). Sebagimana firman-Nya yang bermaksud, " “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah Adz Dzaariyaat ayat 56) . 

Iblis adalah salah satu makhluk berasal daripada jin kerana jin di ciptakan daripada api. Iblis engan sujud kepada Adam kerana dia rasa dia lebih mulia di sebabkan dia di ciptakan daripada api. 

Allah SWT berfirman: "Allah berfirman yang bermaksud : 'Hai Iblis, apa yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi? 'Iblis berkata: 'Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.' Allah berfirman: 'Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk. Sesungguhnya kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan.' Iblis berkata: 'Ya Tuhanku, bertangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan.' Allah berfirman: 'Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).' Iblis menjawab: 'Demi kekuasaan-Mu, aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.'" (Surah Shad ayat 75-83)

Soalan no. 19.

Assalamualaikum..nak tanya..kalau imam terkentut masa solat..makmum dibelakang imam kena begerak ke depan ke ustaz? Makmum disebelah kena bergerak rapatkan saf ke ustaz? Atau biar je saf tu kosong? - Rashid Mohamad Yatim.

Jawapan :

Waalakaumussalam Rashid Mohamad Yatim : Apabila imam batal solat di sebabkan terkentut maka makmum yang di belakang imam (muazin) tampil ke hadapan menggantikan tempat imam. Dan makmum di sebelah kanan bergerak ke kiri untuk menutup ruang yang kosong di sebabkan makmum di belakang imam menjadi imam.

Soalan no. 20

Assalamualikum, ustaz saya ada satu soalan minta pencerahan. Apakah kebaikan poligami di dalam Islam? Adakah isteri yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT di akhirat nanti? - Pendakwah Khalifah.

Jawapan : 

Waalakaumussalam Pendakwah Khalifah : Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan. 

Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah SWT. bukan untuk kepentingan zat-Nya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkan-Nya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(Surah An-Nisaa' Ayat 2)

Jadi, perkara di atas telah menerangkan lebih lanjut tentang berpoligami di dalam Islam dibolehkan dan memberi gambaran kepada kita bahawa Islam merupakan agama fitrah yang mengikhtirafkan kepelbagaian keperluan dan kehendak dalam hidup berpasangan. 

Bagi memastikan amalan poligami ini diamalkan secara adil dan memberi kesejahteraan kepada keseluruhan umat Islam. Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu iaitu :

1. Berkemampuan untuk menyarai nafkah isteri-isteri dan anak-anak; dan

2. Berlaku adil kepada isteri-isteri.

i. Adil dalam menyediakan kediaman;
ii. Adil dalam giliran malam; dan
iii. Adil dalam musafir.

3. Memberi didikan agama kepada isteri-isteri. Mampu mengajarkan ilmu fardu ain kepada para isteri.

Sebenarnya banyak manafaat yang boleh diambil dari poligami ini atas sebab ia disyariatkan oleh Allah SWT yang Maha Bijaksana yang mengetahui kebaikan yang tersembunyi tanpa tercapai oleh ilmu dan pemikiran manusia. Manfaat yang dapat kita ambil dari kebaikan poligami ini adalah seperti berikut :

1. Bagi isteri yang telah lanjut usia dan mengalami kesakitan, ia akan menyebabkan si suami hilang tumpuan dari segi batin, caranya dengan berpoligami bagi mengelak dia membuat perkara yang dilarang di sisi Islam;

2. Menambahkan hubungan antara keluarga dengan ikatan yang dibuat;

3. Kehormatan wanita akan terjaga bila ia dilindungi oleh kaum Adam yang ingin mengambilnya sebagai isteri;

4. Mengelak berlakunya perzinaan terutamanya kaum lelaki yang akan menyalurkan keinginan nafsunya ke tempat yang haram.

5. Mengelakkan perceraian bila terdapat isteri-isteri yang tidak dapat melahirkan anak;

6. Kebanyakan lelaki yang sering bermusafir ia memberi manafaat kerana tidak melakukan perzinaan apabila dia amat memerlukan;

7. Bagi isteri-isteri yang kematian suami, mereka dibantu oleh para suami dengan berpoligami;

8. Memberi kesempatan yang lebih besar untuk para isteri beramal apabila giliran isteri yang kedua;

9. Mengeratkan lagi kasih sayang apabila perjumpaan antara isteri-isteri digilirkan;

10. Menambahkan keturunan-keturunan;

Kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat "

Nabi SAW. menyebut dalam hadis .Daripada `Aisyah r.ha: Bahawa Nabi SAW membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: "Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki." (Hadis Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim)

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadis ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi,).

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut.

Sesungguhnya Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Marilah sama-sama kita fahami bahawa poligami adalah salah satu daripada syariat Allah SWT. Kita perlu berfikiran positif dan tidak menanamkan kebencian kepada mereka yang mengamalkan poligami di dalam kehidupan berkeluarga. Setiap wanita yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan meyakini akan syariat dan hukum-hukum Allah SWT. tidak boleh membenci dan menolaknya. Kerana dikhuatiri perasaan benci di dalam hatinya yang terbawa-bawa dengan fahaman barat boleh menjejaskan aqidahnya.

Para isteri yang meminta cerai kepada suaminya disebabkan si suami berpoligami adalah termasuk dikalangan isteri yang derhaka kerana alasan ini tidak dibenarkan syarak.

Di dalam serah tidak pernah kita dengar ada dikalangan isteri-isteri sahabat-sahabat Nabi SAW. yang meminta cerai disebabkan suami mereka berpoligami. Malahan ada dikalangan isteri sahabat-sahabat Nabi SAW menggalakkan suami mereka berpoligami dengan tujuan untuk kemaslahatan umah disebabkan kematian suami.

Kesimpulannya, poligami merupakan hukum Allah SWT.yang mempunyai hikmah dan manfaat yang besar baik bagi individu, masyarakat dan umat Islam. Penolakan yang berlaku sekarang adalah kerana kenipisan masyarakat tentang poligami yang menyebabkan syariat ini diragui sehinggakan menganggap ia sebagai sumber kepada kesengsaraan dan kehinaan wanita. Perlu diingat bahawa setiap perintah yang diturunkan oleh Allah SWT pasti terselindung kebaikan yang banyak, yang tidak dapat diungkap dengan mata kasar yang tidak menggunakan cermin mata yang berjenama iman dan amal.

Wanita yang membenarkan suaminya berpoligami dengan hati yang redha semata-mata mencari keredhaan Allah akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT di hari akhirat. Wanita solehah tidak menganggap suami dia hanya hak dia seorang dan tak boleh berkongsi kasih sayang dengan wanita lain yang memerlukannya. Sifat berlapang dada dan tidak terlalu cemburu adalah sifat yang mulia dan hanya di miliki oleh wanita-wanita yang mementingkan kehidupan di hari akhirat. Tidak pernah kita dengar ada kes isteri para sahabat meminta cerai kepada suami mereka kerana suami mereka berpoligami. Oleh itu semua wanita yang beriman dan bertakwa perlu berlapang dada sekiranya para suami kalian di takdirkan berpoligami. Berpoligami adalah hukum Allah SWT yang jelas di nyatakan di dalam al-Quran dan janganlah kalian menentangnya kerana menentang dan membenci poligami sama seperti kalian membenci Allah SWT. Wallahu a'lam.




No comments:

Post a Comment