Assalammualaikum ustaz.saya nak tau,apa hukumnya membela haiwan dengan mengurungnya..contohnya burung - Ahmad Khairul Ane .
Jawapan :
Waalakaumussalam Ahmad Khairul Ane : Harus kita bela burung di dalam sangkar. Boleh hukumnya memelihara haiwan dalam kurungan seperti ikan, burung, arnab, hamster, dsbnya, asalkan ia dijaga dgn baik dan dijaga makan minumnya...bahkan ia suatu industri yg besar di dunia.
Dalil umum: Firman Allah SWT :
وَالأَنْعَامَ خَلَقَهَا لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya,"Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfa'at, dan sebahagiannya kamu makan."(Surah an-Nahl ayat 5)
Jadi, Allah ciptakan hewan ternak untuk pelbagai kegunaan termasuk utk hiburan dan suka-suka kerana suaranya yg merdu (burung) dan kecantikan.
Dalil hadis: Anas meriwayatkan adiknya bernama Abu Umair yang membela seekor burung nughair, setiap kali nabi menziarahi keluarga Anas, baginda akan bertanya Abu Umair mengenai burungnya itu." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhori no 6203.)
Membela burung diharuskan di dalam islam yang penting beri makan dan minum dengan cukupnya dan jangan menyeksanya.Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini di dalam Fath al-Bari berkata:
“Hadis ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi SAW tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”
Berdasarkan hadis di atas ini bahawa memelihara binatang di dalam sangkar adalah harus kerana memelihara binatang ini adalah sebagai perhiasa di rumah atau hobi seseorang. Islam adalah agama yang sukakan kecantikan, Allah juga sukakan perkara yang cantik. Allah jadikan binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia, seperti menjadi rezeki kepada manusia, dijadikan perhiasan dan sebagainya. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”(Surah Al-Araf ayat 32)
“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan”(Surah Al-Nahl ayat 8)
Jelas di sini, bahawa Allah menjadikan sebahagian binatang untuk dimanfaatkan oleh manusia, seperti menjadikan sebagai tunggangan, sumber rezeki dan perhiasa kepada manusia. Tidak menjadi masalah kepada manusia mengambil binatang untuk dipelihara sebagai perhiasan dan hobi. Tetapi perlu diingatkan, jangan menzalimi binatang peliharaan dengan tidak memberi makan, menyiksa dan sebagainya. Menjadi dosa bagi manusia yang memelihara untuk melakukan kezaliman kepada binatang peliharaannya. Hal ini dapat dirujuk kepada pandangan Syaikh bin Baaz sebagai berikut:
“Tidak masalah dengan hal itu bila pemiliknya menyediakan keperluan burung-burungnya, seperti makanan dan air. Karena, berdasarkan hukum asal, diperbolehkan. Sementara itu tidak ada dalil yang menunjukkan penentangan terhadap kaidah ini, berdasarkan atas apa yang kami ketahui. Wallahu’alam.” (Fatawa Islamiyah 4/449).
Soalan no. 27
Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh, ya Ustaz Abu Basyer, jazakallah add saya dalam group ni. saya ada kemusykilan tentang istihadah, sepanjang tempoh istihadah setiap kali solat (samada solat fardhu atau sunat) perlu ambil wudhu atau bagaimana? jazakallah ya Ustaz. - Abdi IIahi.
Jawapan :
Waalakaumussalam Abdi Ilahi : Apabila saudari menghadapi darah istihadah , saudarai wajib mengerjakan solat kerana darah istihadah adalah darah penyakit bukan darah haid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh radhiallahu ‘anha telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
Maksudnya:“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan solat?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haid. Oleh kerana itu jika datang haidmu, maka tinggalkan solat, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian solatlah”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadas, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan solat. Jika keluar darah haid wanita tak di wajibkan solat. Cara untuk solat adalah saudari tunggu masuk waktu solat, beristinjak dan bersihkan kemaluan dan pakai tuala wanita dan mengambil wuduk, niatnya " Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat fardu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”. Wuduk tersebut boleh di gunakan untuk beberapa solat sunat. Apabila masuk waktu solat yang baru maka ulangi cara-cara mengambil wuduk seperti di atas.
Soalan no. 28
Assalamualaikum Ustaz...apa hukumnya seorang isteri yg mewarnakan rambut nya hanya utk tatapan suami...dan apa warna yg dibolehkan? (jika dibolehkan)..- Umi Mastura.
Jawapan :
Waalakaumussalam Umi Mastura Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah, perang dan sebagainya, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina', Al-Bahuti, jld 1, ms 77)
Mereka semua berdalilkan dengan hadis-hadis riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan sahih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma' az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.
Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-
1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.
2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
3- Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudarat terhadap janin dan lain-lain akibat bahan kimia pewarna tadi.
4- Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.
HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM
Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-
1. Makruh .
Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.
Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.
Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : "Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Hadis Sahih Riwayat Muslim)
b) Berkata Ibn Umar ra : "Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar" (Hadis Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)
c) Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak" (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorg perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai'en dan Imam Ahmad)
d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.
2. Haram
Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya untuk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.
3. Harus tanpa Makruh
Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.
Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : "Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri-isteri kamu, dan lebih dapat menakutkan musuh" (Hadis Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)
b) Diriwayatakan bahawa sahabat dan tabi'ein ramai juga yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Antara Sa'ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma' az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)
Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dapat disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini.
Kesimpulan Hukum .
Akibat terdapat zahir hadis dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadis-hadis ini. Ia seperti berikut :
a) Hadis larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.
b) Adapun hadis yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab-sebab yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dan lain-lain lagi.
Majlis Fatwa Kebangsaan : Hukum Wanita Mewarnakan Rambut
ISU:
Bolehkah wanita mewarnakan rambutnya dengan warna seperti merah atau oren. Adakah sah mandi wajib wanita yang mewarnakan rambutnya?
PENJELASAN:
Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan.
Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana perkara-perkara berikut dijaga:
Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم
Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4/44, no: 4031).
Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.
Wanita yang sedang dalam tempoh edah kematian suami tidak diharuskan mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam edah kematian suami.
Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1663, no: 2102).
Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.
Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur dengan bahan najis.
Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota mandi wajib.
Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.
Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru, perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib.
Wallahu A’lam.
Soalan no. 29
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
USTAZ, betul ker Bila Kita pergi ziarah untuk mengajak kepada kebaikkan spt tabligh, Rumah yang kita lawat tu, ALLAH kurniakan 1000 kebaikan Dan keluarkan 1000 keburukan Daripada Rumah yang kita lawati tersebut.? - Mohd Zuki Seman.
Jawapan :
Waalakaumussalam Warahmatulahi Wabarakatuh Mohd Zuki Seman : Tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan rumah yang kita lawat tu, ALLAH kurniakan 1000 kebaikan dan keluarkan 1000 keburukan daripada rumah yang kita lawati tersebut, Walaubagimana pun jika kita berniat nak berdakwah dan mengajak kepada kebaikan akan di kurniakan pahala yang besar oleh Allah SWT.
Firman Allah S.W.T.:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya, “Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” (Surah Fussilat (41) ayat 33)
Jelaslah bahawa Allah S.W.T. mengutamakan orang-orang yang menyeru kepadaNya kerana dialah yang paling baik ‘perkataan’nya berbanding orang yang tidak menyeru kepada Allah.
Soalan no. 30.
Assalamu'alaikum ustaz. nak tanya, apa pendapat ulama tauhid mengenai hukum iman orang2 bertaklid. boleh jelaskan pendapat rajih mengenainya.
terima kasih. - Amalina Yusof.
Jawapan :
Waalakaumussalam Amalina Yusof : Adakah Kita Di Benarkan Bertaqlid?
1. Secara umumnya setiap muslim wajib mengetahui ilmu agama yang berkaitan fardhu ain. Tidak ada yang terkecuali mempelajarinya. Namun Allah SWT memerintahkan sebahagian manusia untuk lebih mendalami ilmu agama, meneliti dan menggali segala rahsia dan yang tersirat disebaliknya. Tidak semua orang akan sampai ke peringkat ini dan ia merupakan fadhilat Allah Azza wa Jalla yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Firman Allah SWT maksudnya, "Dan tidaklah orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap kumpulan di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." (Surah at-Taubah ayat 122)
2. Oleh sebab itulah manusia itu terbahagi kepada beberapa peringkat, antaranya:
i. Mereka yang mempunyai kemampuan untuk berijtihad, boleh mengambil permasalahan daripada al-Qur’an dan al-Sunah daripada dalil-dalil syara’. Perbincangannya seperti dalam kitab-kitab Usul Fiqh, dan mereka ini adalah mujtahid mutlak.
ii. Mereka yang digelar mujtahid mazhab, iaitu yang tidak terkeluar daripada kaedah asas imamnya dan sentiasa terikat dengannya. Namun mereka sampai ke peringkat mampu berijtihad pada persoalan-persoalan yang tidak pernah dibincangkan oleh ulama’ mazhab yang sebelumnya.
Seperti Imam al-Nawawi (676H) dalam fiqh al-Shafi’iyah dan imam Muhammad (189H) dalam fiqh al-Hanafiah.
iii. Dalam kalangan manusia ada yang mempunyai kemampuan untuk mempelajari permasalahan dan mengetahui dalilnya. Mereka dipanggil al-tabi’ (pengikut). Mereka mengetahui masalah dan dalil tetapi mengikut mazhab tertentu.
iv. Mereka yang selain daripada tiga kumpulan di atas, iaitu peringkat muqallid (yang bertaqlid).
Persoalan yang diajukan di atas bersangkutan dengan kumpulan keempat. Adakah boleh bertaqlid di dalam bab akidah?
Saya cuba untuk mempermudahkan agar dapat difahami dengan baik insya Allah. Sebelum itu, perlulah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan perkataan taqlid dan hukumnya.
Taqlid bermakud iltizam (komitmen) mengambil mazhab (pegangan) lain tanpa mengetahui dalilnya yang khusus. Oleh itu, jika seseorang mengambil kata-kata orang lain dengan mengetahui dalilnya secara jelas dan yakin, maka tidak dikira sebagai muqallid. Taqlid dianggap wujud sejak pada zaman sahabat lagi kerana tidak semua para sahabat berijtihad pada setiap permasalahan, sebahagian besar mereka ada yang bertanya kepada orang lain. Dalam kalangan sahabat yang masyhur dengan kekuatan ilmu adalah seumpama Saidina Umar al-Khattab, Ali bin Abu Talib, Saidatina ‘Aishah, Ibn Umar, Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhum. Selain daripada mereka pula, bertanya di antara satu sama lain, beramal dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 7 bermaksud:
"Maka bertanyalah kamu kepada ahlu al-zikri (mereka yang tahu) jika kamu tidak mengetahui.
Walau bagaimanapun, selepas zaman imam empat mazhab (Imam Abu Hanifah 150H, Imam Malik bin Anas 179H, Imam Shafie 204H dan Imam Ahmad bin Hanbal 241H) dan anak-anak murid mereka, taqlid telah tersebar dengan meluas. Antara mazhab yang masih kekal secara lengkap dari aspek permasalahan dan tersusun dari aspek usul adalah empat iaitu al-Hanafiah, al-Malikiah, al-Shafi’iyah dan al-Hanabilah. Orang ramai telah mengambil ijtihad-ijtihad salah satu daripadanya. Sekiranya kita mengikut pandangan mereka, bukan kerana mereka maksum (terpelihara daripada dosa dan silap), tetapi kerana mereka cukup syarat dan keahlian untuk berijtihad.
Taqlid dalam aqidah
Jumhur ulama’ usuluddin menyatakan tidak boleh taqlid dalam perkara aqidah, seperti dalam persoalan Allah wujud, Esa dan membenarkan kerasulan Nabi SAW. Dalam hal ini kita tidak boleh taqlid dengan orang lain. Wajib bagi kita untuk meneliti, berfikir dan tadabbur sendiri terhadap dalil-dalil yang boleh membawa kepada ilmu dan keyakinan serta ketenangan hati.
Allah Azza wa Jalla mencela amalan taqlid dalam perkara aqidah, antara lain firmanNya dalam surah al-Zukhruf ayat 22:
Maksudnya, "(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja."
Selepas turun ayat 190 Surah Ali ‘Imran, diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya, "Telah turun ayat kepadaku malam tadi, celakalah bagi sesiapa yang membacanya tetapi tidak berfikir tentangnya. (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Taqlid dalam fiqh
Kebanyakan para ulama’ menyatakan bahawa bagi orang awam yang tidak sampai kepada peringkat ijtihad, boleh bertaqlid dengan para mujtahid dalam perkara furu’ (cabang) amalan syara’ seperti dengan mazhab yang empat. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 7 maksudnya, " ..maka tanyalah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui."
Sebahagian ulama’ menyatakan tidak wajib bertaqlid, sebaliknya hukum bertaqlid dalam perkara fiqh adalah harus. Ini kerana mujtahid yang diikut boleh jadi betul dan salah dalam ijtihadnya.
Tidak dapat dinafikan bahawa para ulama’ yang sampai ke peringkat boleh berijtihad tidak hanya empat imam mazhab sahaja, bahkan terdapat juga para ulama’ yang lain. Jumlahnya tidak sedikit, antaranya Imam al-Auza’ie (157H) yang disemadikan di Beirut, Sufiyan al-Thauri (161H), Ibn ‘Uyainah (198H) dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun menurut majoriti ulama’ bahawa mazhab yang masih kekal hingga hari ini dengan buku-buku dan sistem yang teratur hanyalah empat sahaja.
Kesimpulannya, bagi mereka yang tidak tahu, bertanyalah kepada orang alim yang dipercayai keilmuan dan ketakwaannya. Manakala bagi yang ada kemampuan mempelajari dalil, menjadi tabi’ lebih utama daripada muqallid. Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment