Assalamualikum. Soalan saya apakah hukum membeli barangan klon senag cerita tiruan... yang terlalu banayk di pasaran sekarang? Saya pernah dengar ia haram. Apa hukum jual beli seperti ini? Terima kasih - Hunny Muhd Salleh.
Jawapan :
Waalakaumussalam Hunny Muhd Salleh : Kita di larang membeli barang tiruan kerana telah mengambil hak orang lain. Dalam urusan perniagaan kita boleh membeli apa saja barang yang dijualkan kepada kita selagi barang tersebut bersih, suci, halal dan tidak timbul perkara syubhat. Barang tersebut telah diletakkan harga dan kita bersetuju dengan harga tersebut. Barangan tiruan adalah barang yang telah diciplak, ditiru dan di copy tanpa izin pencipta dengan jenama yang sama dan pengguna tidak dapat membezakan yang mana original dan yang mana tiruan. Sekarang ini barangan tiruan banyak di pasaraya, pasar malam, kedai borong dan sebagainya. Islam melarang kita membeli barangan yang jelas menipu jenama tertentu untuk mengaut keuntungan yang besar.
Barangan tiruan ialah barang yang dicuri reka dari pencipta yang sebenar tanpa izin dan hal ini sama dengan masalah mencuri. Islam melarang umatnya mencuri, kerana mencuri itu adalah haram. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Janganlah seorang dari kamu menjual atas barang jualan orang lain”
Fatwa dari Persatuan Ulamak Fiqh Sedunia dalam masalah ini ialah haram bagi sesiapa yang meniru barangan orang lain tanpa izin dari penciptanya. Barangan yang dimaksudkan di sini ialah barang yang menjadi hak cipta terpelihara.
Orang yang memprodukkan barangan tiruan seolahnya seperti mereka menipu pengguna dengan jenama yang diberikan. Contohnya baju kemeja yang diklon dari jenama yang terkenal tanpa izin dari penciptanya, kemudian produk tersebut dicopkan dengan jenama yang terkenal. Maka perkara ini merupakan penipuan yang nyata dan Islam sangat melarang umatnya menipu sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :
“Barangsiapa menipu kami, maka bukanlah dari golongan kami”
Masalah curi dan menipu ini sangat jelas dalam Islam dan ia merupakan perkara yang haram dan mungkar. Setiap perkara yang haram itu jelas dan tiada ragu-ragu dan setiap perkara yang halal itu juga jelas dan tiada ragu-ragu. Cari sumber rezeki yang halal dan jauhkan diri dari terlibat dengan perkara yang haram. Kerana rezeki yang haram akan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Rezeki yang haram juga akan membuatkan hati menjadi hitam dan benak untuk melakukan perkara-perkara yang makruf. Hati orang yang makan rezeki yang haram menjadi keras dan susah untuk dibentuk dan ditarbiah.
Carilah rezeki yang halal dengan penat lelah diri sendiri, kerana rezeki yang halal ini walaupun sedikit tetapi ia memperolehi keberkatan dari Allah. Orang yang makan perkara yang halal dan baik, mudah untuk dirinya dan keluarganya untuk mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Bersyukurlah kepada Allah dengan rezeki yang diberikan kepada kita semua. Sesungguhnya Allah telah menentukan rezeki kepada setiap manusia. Kuat doa, usaha dan tawakal maka banyaklah rezeki yang diperolehi oleh kita. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Surah Al-Baqarah ayat 172)
Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (Surah An-Nahl ayat 114)
Soalan no. 2 :
Assalamualaikum ustaz..Saya baru tahu ttg membuat binaan di kubur adalah haram..tetapi sebelum saya tahu ttg pekara ini saya telah membuat binaan kubur di kubur arwah ayah saya..adakah saya perlu memecahkan binaan tersebut?- Ahmad Azraii.
Jawapan :
Waalakaumussalam Ahmad Azraii. Dalam Islam apabila ayah saudara di kebumikan di tanah wakaf perkuburan Islam maka haram membina binaan di atas kubur. Jika sudah terbina maka sila rujuk di Pejabat Agama dan minta surat arahan daripada Pejabat Agama supaya binaan itu dapat di robohkan jika ada surat pengesahan maka tidak ahli waris yang akan pertikaikannya. Ini adalah cara untuk mengelakkan perselisihan waris-waris si mati.
Hadis Nabi SAW riwayat Jabir rh
:نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر ،وأن يقعد عليه،وأن يبى عليه،[ أو يزاد عليه ]،[ أو يكتب عليه] ). أخرجه مسلم (3/62) وأبو داود (2/71) والنسائي (1/284-285،286) والترمذي (2/155) وصححه، والحاكم (1/370)والبيهقي(4/4)وأحمد (3/295،332، 339، 399).والزيادتان لابي داود والنسائي،وللبيهقي الاولى
“Rasulullah SAW menegah dari mengecat kubur dan duduk diatasnya serta membina binaan diatasnya” (atau menambah2 ketinggiannya), (atau menulis keatasnya) [Hadis Riwayat Muslim 3/62, Abu Daud 2/71, al-Nasaai 1/286-284, al-Tirmudzi 2/155, al-hakim 1/370, Ahmad 3/332.339,399 - Dua2 tambahan oleh abu Daud & al-Nasaai, dan yang pertama oleh al-Baihaqi] .
Kubur yang sebenarnya adalah di tinggikan sedikit dengan tanah asal dan boleh di letakkan batu nisan dengan di tulis nama arwah di batu nisan tersebut. Tujuannya adalah apabila tanah perkuburan tersebut telah penuh maka kubur yang lama boleh di gali dan di gunakan untuk jenazah yang baru.
Pada liang yang sama jika sudah berusia 50 tahun hanya tinggal tulang-tulang sahaja dan boleh di masukkan jenazah yang baru. Keadaan ini berlaku di bandar-bandar besar tanah perkuburan sangat terhad. Jika di kampung-kampung berkemungkinan masih banyak lagi tanah kosong. Tetapi hukum asalnya tetap di atas kubur tidak boleh di simen dan di kemaskan dengan seramik.
Soalan no. 3 :
Assalamualaikum.
1-Dalam fb ni, 'like' kita terhadap terhadap benda mendatangkan dosa, contoh anjuran konsert, pendedahan aurat, dikira sebagai dosa juga kan ustaz?
2- Macamana dengan kita saja2 like apa2, contoh bila orang letak gambar coklat kitkat. Ada yang pernah kata kat saya, malaikat kiri kanan akan catat setiap aktiviti kita, yang nombor 2 ni masuk dalam catatan apa ustaz? - Siti Eishah.Abu Zarim.
Jawapan :
Waalakaumussalam Siti Eishah jika ada program maksiat, kemudian kita "like", "share", "post" atau "tag" maka di kira bersyubhat dengan perkara maksiat. Oleh itu elakkan daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung. Jika orang ikuti program tersebut kerana usaha kita maka kita akan mendapat saham yang sama walau pun kita tak hadir di dalam majlis tersebut.
Jika kita "like" bukan perkara maksiat tak menjadikan dosa tetapi jika iklan tersebut tak tutup aurat maka adalah juga sahamnya yang akan kita terima. Oleh itu berhati-hatilah kerana di kanan dan kiri kita ada malakat yang akan mencatat apa saja aktiviti atau amalan kita. Jika amal soleh maka malakat di kanan akan mencatat sebagai kebaikan, begitu juga di sebelah kiri kita ada malaikat yang mencatat amalan buruk atau keji maka akan di catat sebagi dosa. Buku catatan inilah yang akan di bentangkan di akhirat nanti termasuk cctv, para saksi dan orang-orang yang kita zalimi semasa di dunia.
Yang akan menjadi saksi semasa perbicaraan di mahkamah Allah SWT adalah semua anggota kita kecuali mulut, hari, masa, langit dan bumi yang berada di selilingnya semuanya akan menjadi saksi.
Soalan no. 4 :
Assalamu'alaikum Ustaz ...
Merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang menyatakan (lebih kurang) bahawa apabila meninggal seseorang anak Adam, terputuslah daripada dunia melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.
Baru-baru ini saya telah ditanya oleh rakan, apakah benar bahawa seseorang yang telah meninggal tidak lagi menanggung sebarang dosa yang ditinggalkannya di dunia? Sebab dosa tidak disebut dalam tiga perkara seperti dinyatakan dalam hadis tersebut. Sukar untuk saya menjawab persoalan ini. Pohon Ustaz jelaskan. Terima kasih. - Wan Muhammad Najib.
Jawapan :
Waalakaumussalam Wan Muhammad Najib hadis yang di kemuakan adalah hadis sahih riwayat Muslim : Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).
Untuk menfsirkan hadis ini ulama menjelaskan masih terdapat lagi amalan-amalan lain selain daripada 3 perkara di atas akan sampai kepada si mati berdasarkan hadis yang lain .
Menunaskan hutang si mati oleh saudaranya yang masih hidup.
Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan. Anak juga boleh melunaskan hutang ibu bapa mereka.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).
Laksanakan wasiat ibadah yang mereka tinggalkan.
Jika ibubapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:
Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”
Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).
Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibubapa.
Jika ibubapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibubapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”
Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat.
Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam datanglah kepada kami.”
Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).
Dalam hadis di atas, janji Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibubapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.
Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun. (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)
Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa.
Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibubapanya yang telah meninggal.
Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:
“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”
Maka Ibn ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”
(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).
Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.
Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.
1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.
2. Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.
3. Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati :
Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.
Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)
4. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat, bergaduh sesama adik beradik kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam barzakh.
Soalan no. 5.
Assalamualaikum WBT Ustaz..Apa hukum pengunaan penjimatan aliran eletrik, contoh dia mengunakan penghawa dingin dirumahnya setiap masa tapi kadar bil eletriknya hanya RM30 disebabkan dia mengunakan satu' alat kontrol' aliran eletrik. Jika dia x mengunakan alat tersebut bil eletriknya meningkat RM200 lebih keatas?...Harap penjelasan dari ustaz, t/kasih...- Ummi Zainab Hamzah.
Jawapan :
Waalakaumussalam Ummi Zainab Hamzah : Perlu di lihat darisegi undang-undang adakah alat tersebut di luluskan oleh TNB ? Jika pihak TNB membenarkan apa-apa alat yang di gunakan untuk memperlahankan aliran letrik maka di haruskan. Tetapi jika bersalahan darisegi undang-undang jika dapat di kesan penggunaan alat tersebut salah darisegi undang-undang dan boleh di dakwa di mahkamah maka penggunaan alat tersebut di larang. Ini adalah di sebabkan semasa tanda tangan perjanjian pihak pengguna kena mengikut peraturan dan prosedur yang telah di tetapkan oleh pihak pembekal letrik (TNB). Umat Islam terikat dengan perjanjian di dalam muamalah samaada akad jual beli atau pun mendapat bantuan perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment