Soalan no. 141. Assalamualaikum ustaz, boleh tak saya mengucap 2 kalimah syahadah setiap kali lepas solat fardhu atau sebelum tidur, sbb nabi Muhammad SAW pernah berkata nak elak syirik kena bnyakkan mengucap syahadah...
-Muhammad Shahrul Anas.
Jawapan :
Waalakaumussalam Muhammad Shahrul Anas : Amalan yang baik kerana sentiasa memperbaharui syahadah.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah. Tidaklah seorang hamba yang bertemu Allah dengan dua kalimah ini tanpa sebarang syak melainkan akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sabda baginda lagi dalam hadis yang lain yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, nescaya Allah haramkan ke atasnya neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW telah meletakkan syarat bagi mencapal kelebihan kalimah mulia ini mestilah dengan ilmu. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Muslim, yang bermaksud : “Barangsiapa mati dalam keadaan dia mengetahui bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, nescaya dia masuk syurga.”
Kedua-duanya boleh di ucapkan dan di amalkan. Dan tak perlu mengangkat jari telunjuk bila kita memperbaharui syahadah kita kecuali ketika solat sahaja di sunatkan kita gerakkan jari telunjuk kita.
Soalan no. 142. Assalamualikum, ustaz apa makna isteri mukminah?.Macamana pula sifat-sifat suami yang dapat membantu isteri di akhirat?
- Ruzimah Chekros
Jawapan :
Waalakauamussalam Ruzimah Chekros : Isteri mukminah adalah isteri yang solehah yang mampu membantu suaminya bukan saja urusan dunia tetapi urusan akhirat. Maksud urusan akhirat adalah :
1. Isteri sentiasa mengingatkan suaminya supaya taat pada Allah SWT, dan meninggalkan dosa dan maksiat,
2. Mengajak suaminya mendalami ilmu yang bermanfaat di masjid,
3. Jika dia bangun solat tahajud dia gerakkan suaminya untuk solat tahajud bersama (salah satu ciri ahli syurga adalah suka solat malam).
4. Apabila isteri menutup aurat yang sempurna, menjaga akhlaknya, menambahkan ilmu pengetahunnya mendidik anak-anaknya dengan didikan islam ini adalah kerja-kerja untuk membantu suaminya untuk akhirat kerana mungkin suaminya kesuntukan masa nak didik dirinya dan anak-anaknya.
Suami pula dia perlu membantu isterinya untuk akhirat :
1. Pastikan isterinya menutup aurat dengan sempurna,
2. Menjaga akhlak isterinya supaya tak bebas bergaul dengan lelaki yang bukan mahram,
3. Sentiasa mendidik dan menasihati isterinya supaya mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
4. Suami yang baik tidak akan membiarkan isterinya melakukan dosa kerana dia juga akan mendapat tempias dosa yang di buat oleh isterinya.
5. Jika suami bangun solat tahajud maka renjis air ke muka isteri supaya isteri juga dapat solat tahajud bersama di malam yang gelap gelita berdoa dan mohon ampun kepada Allah SWT.
Banyak cara isteri boleh membantu arwah suaminya :
1. Berdoa setiap lepas solat supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa arwah suaminya. dan di tempatkan di taman-taman syurga.
2. Ampunkan semua kesalahan arwah suami semasa hidup dahulu suami ada menyakiti hati isterinya tanpa di sedari, jika suami mengabaikan tanggungjawab ampunkan saja supaya tak di tuntut nanti di makhamah Allah SWT.
3. Jika ada nafkah yang pernah di abaikan semunya akan di hisab, maka suami akan terlepas jika isteri memaafkannya.
4. Sedekahkan pahala bacaan al-Quran niatkan untuk arwah suaminya
5. Jika ada wang lebih infakkan di jalan Allah atau sedekah jariah niatkan untuk suaminya maka pahala sedekah tersebut akan sampai kepada suaminya.
6. Jika suami ada meninggalkan puasa maka bayarkan fidyah suaminya sehari di sedekahkan beras sebanyak 0.675 kg beras. (untuk 1 hari puasa yang di tinggalkan)
7. jika arwah suaminya ada hutang sesama manusia maka selesaikan hutang suaminya.
Soalan no. 143. Assalamualaikum ustaz saya ada bebrapa hal yg ingin saya tanyakan,mengenai solat tahajud.
1. Bolehkah jika solat tahajud hanya 2 rakaat dan tanpa wiitir?
2. Apa boleh solat tahajud tanpa tidur dulu ?
3. Tolong jelaskan pada saya tata cara solat tahajud yang sesuai dengan yang diajarkan oleh Rasulullah? Mohon pencerahannya ustaz,
- Adhien Al Ayubi.
Jawapan:
Waalakauamussalam Adhien Al Ayubi jika kita sudah kerjakan witir sebelum tidur maka apabila kita bangun mengerjakan solat tahajud 2 rakaat maka tak perlu witir lagi kerana solat witir hanya ada sekali saja pada waktu malam. Tetapi apabila kita belum kerjakan witir dan kita bangun tahajud dalam 1/3 akhir malam maka di sunatkan kita tutup dengan witir 1 rakaat. Jika tak buat witir rugilah kerana amalan ini adalah sunah yang tak pernah di tinggalkan oleh Nabi SAW.
2. Maksud tahajud adalah bagun daripada tidur, jika belum tidur itu bukan solat tahajud, itu solat malam sahaja. Selain daripada solat tahajud di waktu malam boleh di kerjakan solat sunat tanpa tidur iaitu solat witir, hajat, taubat, istikharah, tasbih dan solat mutlak yang lain seperti solat wuduk.
3. “Tahajud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajud dikerjakan dua rekaat.
1. Berdoa Sebelum Memulakan Solat Tahajud.
Dari Ibnu Abbas r.a : Apabila Rasulullah SAW bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi SAW membaca :
"Wahai Allah.. Untuk-Mulah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk-Mulah segala puji.
Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk-Mulah segala puji ;
Cahaya langit dan bumi. Untuk-Mulah segala puji.
Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar,
Para Nabi Maha Benar dan Muhammad Sallallaahu ‘Alaihi Wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar.
Wahai Allah..Aku pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum.
Oleh itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan.
Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau ).".
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0581)
2. Bangun Di Waktu 1/3 Akhir Malam.
Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda, “Allah Tabaaraka Wa Ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam.
Dia (Allah) berfirman : ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.”
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0602)
3. Kebaikan Tahajud Menurut Al-Quran.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)
JUMLAH RAKAAT SOLAT TAHAJJUD
Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan dengan dua rakaat-dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:
إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1137.)
Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini adalah sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam pada waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.)
Soalan no. 144. Assalamualaikum terima kaseh sudi approved saya, saya ni jahil dengan ajaran Allah ..sentiasa ingkar dengan laranganNya..Layakkah saya memiliki syurga Allah? sekarang saya ingin mencari jalan untuk ke jalan Allah.. tanpa bimbingan sesiapa..
- ArMel Batriesya
Jawapan :
Waalakaaumussalam ArMel Batriesya : Kita masuk syurga Allah SWT bukan kerana amal ibadah kita, tetapi kita masuk syurga kerana rahmat Allah SWT. Tetapi untuk mendapat rahmat Allah SWT kita perlu melakuakn beberapa suruhan Allah SWT.Sabda Rasulullah SAW dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah SWT menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. " (Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )
Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Amal saleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim)
Allah SWT yang Maha Pemurah memberikan rezeki kepada semua makhluknya yang hidup di dunia ini samaada mereka orang beriman atau orang yang tidak beriman dikalangan manusia dan jin . Tetapi Allah SWT memberi dengan penuh kasih sayang dan rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Sesungguhnya rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.
Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam syurga Allah SWT. adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah SWT perlulah kepada lima syarat.
Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Tidak melakukan syirik kepada Allah SWT.
Dosa yang paling besar disisi Allah SWT. adalah syirik kepada-Nya. Syirik besar (akbar) adalah menyakutukan Allah SWT dengan makhluk ciptaan-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. (Surah an-Nisa ayat 48)
Firman Allah SWT yang bermaksud :"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-An'aam ayat 82)
Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab,"Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).
Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah.
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya sentiasa berzikir seperti berikut:“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah al-Insan ayat 25- 26)
Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”(Surah Al A’raf, Ayat 205)
Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda : Allah SWT berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."(Hadis Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibn Majah)
Allah SWT cinta dan kasih kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa basahkan lidah dengan berzikir dan mengingati-Nya setiap hari.
Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka." (Hadis Riwayat Bukhari)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah SWT. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)
Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.
Dalam satu hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Hadis Riwayat Abu Hasan Al Basri)
Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.
Dihari akhirat Allah SWT tidak akan menerima amalan yang dilakukan tidak ikhlas iaitu kerana riak dan mencari habuan dunia.Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah SWT namun Islam membuat satu garis panduan unutk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.
Firman Allah SWT maksudnya :"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya." (Surah Al-Bayyinah ayat 5)
Al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”
Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan mengerjakan amal soleh.
Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan (amal soleh).”(Surah An-Nahl ayat 32)
Firman Allah SWT. yang bermaksud :"Itulah syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”(Surah Al-A’raaf ayat 43)
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."(Hadis Riwayat Muslim)
Apabila kita telah melaksanakan lima perkara yang tersebut di atas maka barulah kita layak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Mereka yang hidup di dunia ini bergelumang dengan maksiat, melakukan dosa , melanggar hukum-hukum Allah , bersikap sombong, riak dan takbur tidak mungkin akan mendapat reda , kasih sayang dan rahmat Allah SWT.
Soalan no. 145. Assalamualaikum .. alhamdulillah..
Ustaz , saya ingin bertanya.. ada yang mengatakan bahawa..
Jika seseorang isteri memberikan suaminya berkahwin lagi... ada yang mengatakan isteri itu akan mendapat payung emas di syurga...
Persoalannya.. apakah ada hadis sahih.. atau pun.. adakah ia ada terkandung di dlm Al Quran ? Boleh kah ustaz menerangkannya.. dan nanti saya boleh share kepada kawan-kawan.sekian
Terima kasih.. ustaz
- Hunny Muhd Salleh.
Jawapan :
Waalakauamussalam Hunny Muhd Salleh : Tidak ada hadis sahih menyatakan isteri yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas, tetapi secara umumnya besar pahalanya jika seorang isteri membenarkan suaminya berpoligami kerana dapat membantu wanita lain yang memerlukan seorang suami yang dapat menjadi tempat berlindung. Jika isteri pertama sanggup bantu membantu dan tolong menolong terhadap madunya dan tidak menyusahkan suaminya maka rahmat Allah SWT akan di berikan kepadanya dan keluarga tersebut.
Hikmah Berpoligami :
Jika dikaji beberapa hadis-hadis Nabi SAW bolehlah kita menceduk hikmah berpoligami menurut kacamata Islam.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.
Sabda Nabi SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Hadis Riwayat Ahmad)
Ini menjelaskan kepada kita bahawa berkahwin adalah satu cara untuk mendapatkan keturunan. Berkahwin seorang tidak sama dengan berkahwin 2,3, atau 4 darisegi bilangan umat baginda di hari akhirat. Semakin ramai seseorang berkahwin secara logiknya maka akan bertambah ramai ahli keluarganya sebagai umat Rasulullah SAW.
Mengikut sirah sahabat-sahabat Rasulullah SAW ramai yang berpoligami adalah bertujuan untuk meramaikan umat Islam dihari akhirat nanti seperti saranan baginda. Maksudnya keturunannya akan ramai bersambung menyambung hingga ke hari kiamat. Jika seorang berkahwin dua maka ada dua saluran keturunannya hingga kehari kiamat begitu juga jika berpoligami empat isteri dia akan memiliki empat saluran keturunan yang bersambung sehingga kehari kiamat. Jika ada dikalangan ahli keluarganya yang ramai itu dapat memasuki syurga maka mereka boleh saling bantu membantu memberi syafaat di antara satu sama lain. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh mereka yang berkahwin seorang sahaja.
Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin berkata, “…Seorang lelaki jika dia mampu dengan harta, badan (tenaga) dan hukumnya (bersikap adil), maka lebih utama baginya untuk menikahi dua sampai empat orang wanita jika dia mampu. Dia mampu dengan fizikalnya (tenaga batin) sehingga dia mampu menunaikan hak yang khusus bagi isteri-isterinya. Dia juga mampu dengan hartanya sehingga dia boleh memberi nafkah yang layak bagi isteri-isterinya. Dan dia mampu pula dengan bersikap adil di antara mereka. Kalau dia mampu seperti ini maka hendaknya dia menikah (dengan lebih dari seorang wanita), semakin banyak wanita yang dinikahinya maka itu lebih utama.
Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Orang yang terbaik di umat ini adalah yang paling banyak isterinya."(tidak lebih daripada 4 isteri)
Seorang yang soleh dan bertakwa boleh memberi syafaat kepada ahli keluarganya yang lain. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)
Nabi Adam a.s adalah seorang nabi yang mempunyai keluarga yang cukup besar iaitu semua umat manusia akan menjadi keluarganya yang besar bermula daripada anak-anaknya hingga manusia yang hidup semasa berlakunya hari kiamat.
Firman Allah SWT maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah al-Tur ayat 21)
Ayat di atas secara jelas menjelaskan bahawa Allah SWT akan pertemukan diantara bapa dan anak cucu dan cicitnya dan keturunannya di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan keluarga dan keturunan mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.
Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka dan doa cucu-cicit dan keturunan mereka begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).
Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.
Di syurga seorang lelaki yang mempunyai seorang isteri akan memiliki seorang ketua bidadari dan 72 orang bidadari.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Bagi lelaki yang mempunyai 4 orang isteri dia akan memiliki 4 orang ketua bidadari dan 72 bidadari untuk setiap isteri-isterinya.
Keseronokan disyurga bukan sahaja memiliki ketua bidadari dan bidadari-bidadari tetapi keseronokkan juga kerana mempunyai keturunan yang ramai dan ini akan lebih menambahkan kenikmatan berkomunikasi dan berinteraksi dan berhibur sesama keturunan mereka.
Sahabat yang dikasihi,
Pahala yang besar juga akan diperolehi kepada orang mukmin yang berpoligami semata-mata kerana Allah SWT, berhajat mendidik isteri-isterinya menjadi isteri yang solehah dan berhajat memiliki keturunan yang besar dan beriman yang akan dapat saling memberi syafaat dan tolong menolong di hari akhirat nanti.
Amat malang bagi seorang lelaki yang berkahwin seorang isteri tetapi isterinya tidak menutup aurat, berhias untuk lelaki lain dan sering tidak mensyukuri rezeki suaminya dan hanya mementingkan kepentingan duniawi semata-mata. Anak-anaknya pula tidak soleh dan solehah kerana tidak ada didikan agama daripada seorang ayah dan ibu.
Wanita yang solehah yang memahami bahawa haknya tidak akan berkurangan di hari akhirat nanti jika suaminya berpoligami semasa di dunia dan kerana anak-anak daripada isteri-isteri yang lain jika beriman dan bertakwa dan dipilih memasuki syurga akan dapat memberi syafaat dan membantu ahli keluarganya yang lain termasuk ibu-ibu tirinya untuk memasuki syurga. Keistimewaan ini tidak dimiliki wanita yang bujang tak mahu berkahwin atau wanita yang tidak membenarkan suaminya berpoligami walaupun berkemampuan.
Berpoligami banyak terdapat kemaslahatan/kebaikan yang agung bagi kaum lelaki maupun wanita, bahkan bagi seluruh umat Islam. Sebab dengan poligami akan memudahkan bagi lelaki maupun wanita untuk menundukkan pandangan, menjaga kemaluan (kesucian), memperbanyak (jumlah) keturunan di dunia dan akhirat, dan memudahkan bagi lelaki untuk memimpin beberapa orang wanita dan membimbing mereka kepada kebaikan, serta menjaga mereka dari sebab-sebab keburukan dan penyimpangan.
Hikmah berpoligami ini adalah menjadi amalan sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana sebahagian besar sahabat-sahabat berpoligami dan sebahagian kecil saja yang tidak berpoligami. Amalan ini juga diamalkan oleh ulama-ulama Islam dan orang-orang soleh sepanjang sejarah.
Akhirkata sebelum kalian ingin berpoligami pastikan kalian mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri kalian, perlu diingat kalian akan jalan tempang sebelah kaki dihari akhirat nanti jika kalian tidak dapat berlaku adil, kerana sifat adil adalah paling hampir dengan sifat takwa.
Tetapi jika kalian berpoligami menurut syariat Islam dan kalian terdiri daripada orang yang bertakwa maka kalian akan memasuki syurga yang penuh kenikmatan dan berbahagia bersama-sama isteri-isteri kalian (ketua bidadari) dan bidadari-bidadari bermata jeli dan keturunan kalian di syurga nanti. Waullahualam.
No comments:
Post a Comment