Monday, May 25, 2015

Tazkirah & Soal Jawab Agama Siri 25 (Sujud Tilawah, Duduk Tahiyat Akhir Sama Seperti Tahyat Awal, Cara-cara Solat Nabi SAW, Perbezaan Masjid Dan Surau, Dan Solat Hormat Waktu)

Soalan no. 121. Assalamualikum ustaz berkenaan dengan sujud tilawah.sahabat kata tidak
wajib ada wuduk dan memakai pakaian tutup aurat.saya nak tanya betulkah ustaz.?

- Fatimah Noordin.

Jawapan : 

Waalakaaumusslaam, Fatimah Noordin, syarat sujud tilawah adalah seperti berikut :

1. Tidak diharuskan berwuduk.

2. Disunatkan bertakbir, baik pada waktu solat mahupun diluar solat.

3. Tidak menghadap kiblat di bolehkan tetapi lebih baik menghadap kiblat. Dan kena menutup aurat, sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha.

Tentang masalah ini, terdapat riwayat yang dihasankan oleh Ibnu Hajar Al ‘Asqalani yang berbunyi : “Dari Abu Abdirrahman As Sulami berkata bahwa Ibnu Umar pernah membaca ayat sajdah kemudian beliau sujud tanpa berwuduk dan tanpa menghadap kiblat dan beliau dalam keadaan mengisyaratkan suatu isyarat.” (Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah, lihat Fathul Bari juz 2 halaman 645)

Namun, untuk lebih selamat adalah mengikuti apa yang dinyatakan jumhur fuqaha, sedangkan atsar Ibnu Umar dipahami pada situasi darurat.

4. Boleh dilakukan pada waktu-waktu dilarang solat.

5. Disunatkan bagi yang mendengar bacaan ayat sajdah untuk sujud bila yang membaca sujud tetapi jika yang membaca tak sujud maka tak di sunatkan sujud. 

6. Tidak dibenarkan dilakukan pada solat sir (solat dengan bacaan tidak nyaring) seperti pendapat Imam Malik, Abu Hanifah, dan Syaikh Muqbil, serta Syaikh Al Albani. Sedangkan hadits yang menerangkan bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sujud tilawah pada solat zuhur adalah munqathi’ (terputus sanadnya) dan tidak boleh dipakai sebagai dalil. Hal ini diungkapkan oleh Syaikh Al Albani dalam Tamamul Minnah, halaman 272.

7. Doa yang dibaca pada waktu sujud tilawah :

Ertinya : “Wajahku sujud kepada Penciptanya dan Yang membukakan pendengaran dan penglihatannya dengan daya upaya dan kekuatan-Nya, Maha Suci Allah sebaik-baik pencipta. (HR. Tirmidzi 2/474, Ahmad 6/30, An Nasa’i 1128, dan Al Hakim menshahihkannya dan disepakati oleh Dzahabi)

Tidak ada hadis yang sahih tentang doa sujud tilawah kecuali hadis Aisyah (di atas) menurut Sayid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah 1/188,

Soalan no. 122. Assalamualaikum ustaz bagaimanakah hukumnya bagi seseorang yang mengidap sakit tulang belakang yang tidak boleh duduk secara tawaruk ketika tahiyat akhir? Semasa tahiyat akhir, si polan tersebut hanya mampu duduk secara iftirasy seperti ketika duduk antara dua sujud.
dan bagaimana pula jika si polan tersebut menjadi imam. Bagaimana harus dijelaskan kepada jemaah yang mengikutinya dari belakang (terutama jemaah yang masbuk tentu agak keliru).

- Raja Fazilaton Raja Abdullah.

Jawapan : 

Waalakaumussalam Raja Fazilaton Raja Abdullah dalam hadis sahih ketika solat Rasuluulah SAW pernah duduk tahiyat akhir dua cara iaitu duduk secara tawarru atau duduk secara iftirasy. Oleh itu tidak menjadi kesalahan jika seorang yang sakit duduk secara iftirasy kerana perbuatan ini pernah di lakukan oleh Rasulullah SAW.Apa hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Akhir?

Hukum duduk tahiyyat akhir adalah wajib dan merupakan rukun solat. Jika ditinggalkan batallah solat.

Apakah cara duduk yang disunatkan ketika duduk Tahiyyat/Tasyahhud?

Disunatkan ketika tahiyyat awal duduk secara iftriraysh dan ketika tahiyyat akhir disunatkan duduk secara tawarruk. Duduk iftiraysh ialah dengan menghamparkan kaki kiri sebagai hamparan bagi punggung dan memacakkan kaki kanan. 

Adapun duduk tawarruk pula ialah dengan mengeluar/menghulurkan kaki kiri ke bawah kaki kanan dan pangkal paha (yakni punggung) diletakkan di atas lantai, adapun kaki kanan dipacakkan. 

Perbezaan antara dua jenis duduk tersebut berdalilkan hadis dari Abu Humaid r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi SAW.; “Apabila baginda duduk sesudah dua rakaat, baginda duduk di atas kakinya yang kiri dan menegakkan tapak kakinya yang kanan. Apabila baginda duduk pada rakaat yang akhir, baginda mengulurkan tapak kakinya yang kiri (ke bawah betis kanan) dan menegakkan tapak kakinya yang kanan dan baginda duduk di atas punggungnya” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Itu adalah pandangan sebahagian ulamak termasuk mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak yang lain (antaranya Imam Abu Hanifah) berpandangan; cara duduk semasa Tahiyyat Akhir adalah sama seperti cara duduk semasa Tahiyyat Awal iaitu Iftiraysh. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi SAW; “…Nabi membaca tahiyyat setiap selesai dua rakaat. Baginda (duduk tahiyyat dengan) menghampar kakinya yang kiri dan menegakkan kakinya yang kanan…” (Hadis Riwayat Imam Muslim). 

Dalam hadis ini ‘Aisyah r.a. hanya menyebutkan satu jenis duduk sahaja bagi Tahiyyat/Tasyahhud iaitu duduk Iftiraysh..

Soalan no. 123.Assalamualaikum ..saya mohon izin share semoga semua baik dan bahagia salam sejahtera ustaz dimana mungkin banyak perbezaan pendapat tentang tata cara solat misal kan di Indunesia, ada Muhamadiyah,  Alwashaliya Salafiah,  Jamaah Tabligh dan lainlain.

Semua pengajian ini sudah pernah saya ikuti yang ingin saya pertanyakan disemua pengajian yang saya sebut kan semuanya berbeza ketika mengangkat takbir dan meletakan tangan contoh salafiah meletakan kedua tangan nya di atas dada Muhamadiyah dibawah dada sebelah kiri,Alwashliyah normal pada umum nya sama seperti jamaah tabligh,,,
kalau menurut ustaz yang sebagaimana di anjuran oleh Rasulullah kita apakah dibawah dada atau di atas dada,kerana terkadang ini jadi polemik atau perdebatan dan jadi persoalan di antara satu sama lain ustaz sebelum nya saya ucapkan terima kasih untuk semua nya. wasallamualaikum.

- Rama.

Jawapan :

Waalakauamussalam Rama terdapat beberapa perbezaan cara solat Nabi SAW adalah kerana terdapat hadis-hadis yang berbeza di riwayatkan oleh para sahabat. Ini menunjukkan bahawa baginda SAW ada melakukan cara-cara yang berbeza di tempat yang berbeza. Oleh itu kita berlapang dada jika ada ulama mazhab lain yang solat berbeza sedikit daripada cara yang biasa kita amalkan.1. Berdiri untuk solat 

Berdiri dengan lurus, kedua belah kaki sama tegak, mengarah kiblat dengan menundukkan pandangan memandang ke tempat sujud dan mengarahkan hujung-hujung jari kaki ke kiblat dengan merenggangkan antara dua kaki(jangan sangat dirapatkan dan jangan sangat dijauhkan.

Takbiratul ihram

Takbiratul ihram ialah mengangkat tangan dan meletakkan tangan dalam solat.

Apabila hendak bertakbiratul ihram, angkatlah kedua belah tangan ke daun telinga sejajar dengan bahu dengan mengarahkan anak-anak kedua tangan ke kiblat serta mengembangkannya. Sesudah itu ucapkanlah takbiratul ihram: Allaahu Akbar”Allah adalah terbesar dari segala yang Besar”.

Setelah selesai ucapan takbir, turunkan tangan dengan perlahan-lahan dan letakkan di antara dada dan pusat dengan menggenggamkan pergelangan tangan kiri dengan kelingking, jari manis, jari tengah dan ibu jari tangan kanan, serta mengulurkan telunjuk tangan kanan atas tangan kiri itu.

Cara mengangkat tangan ini ada tiga:

1. Mengangkatnya beserta permulaan takbir.

2. Mengangkatnya dengan tidak bertakbir. Sesudah kedua-dua tangan tetap, barulah bertakbir. Sesudah selesai bertakbir barulah tangan diturunkan.

3. Mengangkat tangan beserta permulaan takbir dan selesai mengangkat tangan beserta selesai takbir. Sesudah selesai takbir, barulah tangan diturunkan.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila telah berdiri untuk bersolat, beliau mengangkat kedua tangannya, kemudian baru bertakbir.” [Hadis Shahih Riwayat Muslim]

Rasulullah SAW apabila berdiri untuk solat, baginda mengucapkan Allahu Akbar, beliau tidak mengucapkan apa-apa sebelumnya dan tidak pula melafalkan niat.

Doa Iftitah dalam solat.

Rasulullah SAW .setelah takbiratul ihram, berdiam agak lama tidak terus membaca Al-Fatihah. Di dalam diam itu baginda membaca iftitah.

Takbir Iftitah .

Allahu Akbar. Kabiiraw wal hamdu lillaahi ka-tsiiraw wa subhaanallaahi buk-rataw wa a-shiilaa.

Maksudnya, “Allah adalah yang paling besar dari segala yang besar, sedang Dia Tuhan yang senantisa besar, segala puji hanya kepunyaan Allah, pujian yang banyak, dan Maha Suci Allah (aku akui kesucian) pada tiap-tiap pagi dan petang.”

[Hadis Sahiah Riwayat Muslim dari Ibnu Umar]

Doa Tawajjuh

Wajjahtu waj-hiya lillazii fa-tharas samaawaati wal ar-dha haniifam muslimaw wamaa ana minal musy-rikiin. Inna shalaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi rabbil ‘aalamiin. Laa syariika lahuu wa bi-dzaalika umirtu wa ana minal mus-limiin"

Maksudnya, “Saya hadapkan diriku kepada Tuhan yang telah menjadikan langit dan bumi, hal keadaanku seorang yang condong benar kepada kebenaran lagi seorang yang menyerahkan diri, tunduk dan patuh, dan sekali-kali aku bukan orang yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah .Bahwasanya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah , Tuhan yang memelihara alam, tidak ada sekutu bagi-Nya, demikianlah aku diperintahkan Allah, dan adalah aku salah seorang dari orang-orang, yang mula-mula menyerahkan diri. "

[HR Ahmad, Muslim, Ar-Tirmidzi, Abu Daud dari Abu Hurairah ra. dari Nabi s.a.w. (dalam satu lafal: wa ana awwalul muslimin= “dan akulah orang yang mula-mula menyerahkan diri kepada Allah“]

Ta’awwudz dalam solat

A’uu-dzu billaahis samii’il ‘aliim minasy syai-thaanir rajiim.

Maksudnya, “Saya berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang kena rejam”

Membaca basmalah dalam solat.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Maksudnya, “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi”

Membaca Al-Fatihah dalam solat.

Alhamdu lillaahi rabbil ‘aalamiin. Arrahmaanir rahiim. Maaliki yaumiddin. Iyyaaka na’budu wa iyyaaka nasta’iin. Ihdinash shiraa-thal mustaqiim.. Shiraa-thal la-dziina an’amta ‘alaihim ghairil magh-dhuubi ‘alaihim wa ladh dhaalliin.

“Segala puji hanya kepunyaan Allah, Tuhan yang memelihara segala alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang mempunyai hari pembalasan. Engkaulah yang kami sembah dan kepada Engkaulah kami meohon pertolongan. Ya Allah, tunjuki kami pada jalan yang lurus. Iaitu jalan segala mereka yang telah Engkau beri nikmat. Bukan jalan orang-orang yang dibenci dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.”

Bertakmin dalam solat

Abu Hurairah ra. menerangkan: “Bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda : “Apabila imam membaca amin, hendaklah kamu membacanya, kerana seseorang yang bersamaan aminnya dengan amin malaikat, diampunilah dosanya yang telah lalu.” [HR Al-Jamaah]

Panjangkan bacaan aamiin.

[HR Ahmad, Abu Daud, dan At-Tirmidzi]

Soalan no. 124. Assalamualaikum. Saya mohon penjelasan daripada Ustaz mengenai masaalah berikut:

DiMalaysia sekarang, banyak surau2 yang telah diberi kelulusan oleh pihak berwajib untuk membolehkan solat Jumaat dilakukan disurau2 tersebut.

Soalan saya ialah:

1. Bolehkah dilakukan solat tahiyyatul masjid disurau2 tersebut?
2. Bolehkah kita niat iktikaf disurau2 itu?
Sekian. Terima kasih.

- Mustofa Yaacob

Jawapan : 

Waalakaumussalam Mustofa Yaacob sekiranya Majlis Agama Islam telah menaikkan taraf surau daripada tidak di adakan solat Jumaat kepada surau yang telah di naikan taraf untuk di kerjakan solat Jumaat. maka di surau tersebut boleh di lakukan solat tahyatul masjid. Surau ini sebenarnya telah naik taraf kepada masjid cuma namanya sahaja yang belum di ubah.

 1. Dalam uruf Malaysia , Pejabat Mufti dan JAKIM telah memberikan fatwanya hanya masjid sahaja yang boleh mendirikan solat Jumaat dan solat tahyatul masjid. Surau tidak di benarkan solat fardu Jumaat. dan tak boleh solat tahyatul masjid. Ulama lain mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dan menganggap surau boleh solat tahyatul masjid.

2. Surau yang telah di naikkan taraf dan di ikhtiraf oleh Pejabat Mufti sahaja boleh di lakukan solat Jumaat dan ketika ini di sunatkan solat tahyatul masjid. Selagi surau tidak di ikhtiraf atau belum di naikkan taraf untuk solat Jumaat maka hukumnya kekal surau tersebut tak di haruskan berikhtikaf dan solat tahyatul masjid.

3. Ulama telah memberi fatwa surau bukan masjid dan di surau wanita haid boleh memasukinya jika ada majlis ilmu untuk mengikutinya.

Perbezaan Di Antara Masjid dan Surau.

Para ulama’ telah menetapkan beberapa pengenalan ( takrif ) mengenai hal tersebut sebagaimana berikut ini :

1- MASJID : ialah satu tempat solat tertentu yang bukan menjadi milik orang-perseorangan, ataupun milik sesebuah badan / syarikat, yakni ianya merupakan satu tempat yang sudah pun diwaqafkan untuk dijadikan tempat solat awam.

2- MUSOLLA : ialah satu tempat solat orang ramai , yang tempatnya masih lagi menjadi milik individu ataupun badan tertentu, yakni ianya belum lagi diwaqafkan untuk solat bagi orang-orang awam. “ Musolla “ ini adalah perkataan Arab ( sebagaimana juga perkataan “ MASJID “ ) yang biasanya kita ertikan sebagai : “ Tempat Sembahyang “.

3- SURAU : ialah perkataan berbahsa Melayu. Saudara-saudara kita di sebelah utara Semenanjung Malaysia menggelarnya sebagai “ MANAQSAH “ , dan bagi masyarakat Pantai Timur pula menggelarnya sebagai “ BALASOH “. Surau juga seperti masjid dimana ianya diwaqafkan untuk kegunaan masyarakat awam, tetapi perbezaannya dengan masjid ialah di surau tidak didirikan syiar Solat Jumaat , akan tetapi ianya didirikan di tempat yang digelar sebagai “ MASJID “.

4- MASJID : ianya juga ialah satu nama umum bagi mana-mana tempat yang disitu didirikan solat, samada ianya milik orang perseorangan ataupun sudah diwaqafkan untuk kegunaan awam, ataupun ianya adalah milik sesebuah badan ataupun syarikat mahupun sebaliknya.

Walhal, Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah tidak pula menetapkan sama-sekali apakah yang disebut “ MASJID “ , dan apakah pula “ MUSOLLA “ itu. Oleh sebab itu dalam perkara yang seperti ini perlu kita timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan di dalam agama kita yang mulia ini .

Marilah kita cuba timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan daripada Hadist-Hadist Rasulullah s.a.w ;

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda :

( I ) - HADIS PERTAMA :

Daripada Abu Said Al-Khudry , beliau berkata : (( “ Rasulullah SAW pernah bersabda : Bumi itu keseluruhannya adalah MASJID , KECUALI kawasan bilik air / tandas dan kawasan perkuburan “ )) ~ Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal rh – didalam musnadnya : Baqi Musnad Al-Muktsirin : 11, 483.

( II ) - HADIS KEDUA :

Hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a : Pernah Rasulullah SAW bersabda : “….Maka sesungguhnya aku tidak halalkan masjid bagi wanita yang haidh dan orang-orang yang berjunub “. ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud di dalam Sunanya : Kitab At-Toharah : 201.

PERBINCANGAN MENGENAI HADIS-HADIS DI ATAS :

Di dalam Sirah ( Kisah Perjalanan Hidup ) Rasulullah SAW sendiri dinyatakan bahawa, pada awalnya ( asalnya ) rumah Baginda Rasulullah SAW sendiri adalah di sebelah Masjid An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Namun, setelah diperluaskan beberapa kali Masjid An-Nabawi itu, maka rumah Baginda Rasulullah SAW sendiri terkena dan termasuk di dalam kawasan Masjid yang mulia itu. Sirah juga membuktikan bahawa Maqam Rasulullah SAW itu juga pada awalnya ( asalnya ) adalah bilik Baginda SAW, yang mana sekarang maqam itu juga termasuk di dalam kawasan ( ruang dalaman ) bagi Masjid An-Nabawi Asy-Syarif.

Jadi kalau kita berpegang dengan hadis yang menyatakan bahawa seluruh bumi ini adalah MASJID, maka sudah tentu rumah Baginda SAW itu juga adalah masjid. Walhal sebenarnya tidak begitu, kerana kalau kita pegang hadis itu secara “ harfiah “ ( keterangan secara zahir ), maka sudah tentu isteri-isteri Baginda SAW yang juga merupakan Ibu-Ibu bagi orang-orang Islam yang suci itu kesemuanya TIDAK PATUT berada di dalam rumah baginda SAW ketika di dalam keadaan “ tidak suci “ , kerana tatkala itu juga mereka turut berada di dalam Masjid An-Nabawi. Namun realitinya, hadis-hadis Rasulullah SAW dan sirah sendiri tidak pernah ada yang menunjukkan bahawa isteri-isteri Baginda SAW  yang suci-murni itu meninggalkan rumah Baginda SAW  ketika mereka didatangi “ waktu tidak suci “ !.

Dan begitulah juga, andainya kita berpegang kepada keumuman hadis yang menjelaskan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid , maka sudah tentu akan menyebabkan kesukaran bagi wanita-wanita yang sedang haidh dan juga mereka yang berjunub. Ke mana mereka hendal pergi kerana kesemua bumi ini difahami sebagai “ masjid “ ?. Ini sudah tentu bertentangan dengan tujuan Islam itu diturunkan Allah Ta’ala iaitu bersifat : MEMUDAHKAN . BUKANNYA MENYUKARKAN !.

Oleh kerana itu, tidak boleh kita berpegang dengan keumuman hadis yang menyifatkan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid ( kecuali tandas-tandas dan perkuburan ). Yang jelas, yang dimaksudkan dengan masjid adalah sebagaimana di dalam di dalam takrif 1 , dan bukannya sebagaimana di dalam takrif ke-4.

MASALAH WANITA HAID DI DALAM SURAU :

Sebagaimana dijelaskan, perkataan surau tiada di dalam istilah Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ianya perlulah difahami menurut ‘uruf ( kebiasaan ) masyarakat kita. Apatalah lagi ‘uruf ini juga merupakan salah-satu daripada sumber-sumber perundangan Islam.

Masyarakat kita biasanya membezakan bahawa MASJID : Ialah satu tempat umum untuk didirikan solat jemaah dan Solat Jumaat . Manakala SURAU pula tidak didirikan di dalamnya Solat Jumaat.

Walaupun begitu , ada juga masjid-masjid kecil ( kebiasaannya di kampung-kampung ) yang sudah tidak lagi mengadakan Solat Jumaat kerana adanya Masjid Besar yang berhampiran dengan beberapa buah kampung itu yang mampu menampung dan menyatukan penduduk beberapa buah kampung berdekatan untuk mengadakan Solat Jumaat di situ. Masjid Besar seperti ini dikenali sebagai : “ MASJID JAMIK “. Digelar sebagai “ JAMIK “ kerana makna asalnya di dalam Bahasa Arab bermaksud : “ Yang Menyatukan “. Digelar juga sebagai “ JAMIK “ kerana di situlah didirikan Solat Jumaat.

Jadi di sini sudah jelas adanya PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID , dari sudut didirikan Solat Jumaat di dalamnya !.

AKAN TETAPI, Surau pula sama dengan masjid daripada sudut : KEDUA-DUANYA ADALAH DIWAQAFKAN KEPADA MASYARAKAT AWAM UNTUK DIDIRIKAN SOLAT BERJEMAAH.

Merujuk kepada ‘uruf yang berlaku di kalangan masyarakat kita , maka : SEBAHAGIAN BESAR ASHABUS-SAMAHAH MUFTI-MUFTI KITA, TUAN-TUAN GURU KITA, PARA ULAMA’ KITA telah menyatakan :

1 – Wanita-wanita yang haid boleh memasuki surau, tetapi haram memasuki masjid.

2 – Di dalam masjid boleh didirikan solat sunat Tahiyatul-Masjid, tetapi tidak pula di surau dan di tempat lain. .

Namun begitu, ada juga di kalangan beberapa ulama’ di Nusantara ini yang membantah kenyataan di atas dengan hujah-hujah :

1 – Bagaimana wanita-wanita yang sedang haidh boleh memasuki surau, tetapi tidak pula ke dalam masjid, walhal surau dan masjid itu kedua-duanya adalah tempat umum yang diwakafkan untuk didirikan solat berjemaah ?.

2 – Jika di dalam masjid kita boleh mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid , maka mengapa pula tidak boleh di surau-surau walhal kedua-duanya itu juga adalah tempat umum yang diwaqafkan untuk didirikan solat berjemah ?.

PANDANGAN SAYA :

Perselisihan pendapat ini berlaku kerana tiadanya satu panduan yang tepat daripada Baginda Rasulullah SAW mengenai “ Perbezaan Di Antara Masjid Dengan Surau “ . Lantaran itu semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbezaan di antara kedua-dua tempat sembahyang itu lahir daripada keputusan yang dicedok dan diperbahaskan daripada sudut-sudut tinjauan dan perbahasan di atas.

Menurut pandangan saya : Lebih baik kita berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian besar ( majoriti ) ulama’ mengenai perbezaan di antara Masjid dengan Surau dan hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-duanya kerana , keputusan yang diambil oleh majoriti ulama’ LEBIH HAMPIR KEPADA KEBENARAN DAN LEBIH SELAMAT DARIPADA KESILAPAN berbanding dengan keputusan sebahagian kecil ( minoriti ) para ulama’.

Kita juga menasihatkan agar masyarakat awam tidak masuk campur di dalam perkara-perkara khilafiyah ( yang diperselisihkan ) di kalangan ulama’ memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk memahami setiap hujah dan sudut pandangan para ulama’ yang berselisih pendapat itu.

Kita juga bimbang, andainya masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan ilmu yang kental ini “ cuba-cuba “ masuk ke dalam “ arus-perbincangan “ dan “ titik-perselisihan “ di kalangan ulama’ ini, mereka pula yang akan menjadi “ pening “ dan “ bingung “ yang akhirnya mereka akan mula mencemuh ulama’ itu dan ulama’ ini, ataupun mereka sendiri akan dipermainkan oleh Golongan Yahudi dan Kristian yang suka melihat umat Islam ini “ tenggelam “ di dalam “ perkara-perkara khilafiyah seperti ini “.


Akhir kata, saya lebih cenderung andainya saudari yang bertanya berpegang dengan apa yang telah diputuskan oleh golongan majoriti ulama’ di atas !. Wallahu a'lam.

Soalan no. 125. Assalamualikum ustaz bolehkan ustaz huraikan solat menghormati waktu dari segi shariat islam...

- Suhaimi Ismail.

Jawapan :

Waalakauamussalam Suhaimi Ismail : Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan solat hormat waktu berdasarkan mazhab yang empat:

Mazhab Hanafi

Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.

Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.

Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.

Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.

Mazhab Maliki

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.

Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.

Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.

Mazhab Syafie

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.

Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.

Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.

Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.

Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.

Mazhab Hanbali

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.

Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.

Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.

Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama’ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.

(Daripada tulisan DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Di petik dari Utusan Online)

Jika kita merancang perjalanan kita bermusafir dan ada sedikit bekalan air mineral di bawa maka kita dapat elakkan solat menghormati waktu. Jika kita sudah ada wuduk boleh solat di kapalterbang atau di bas ekspress. Air mineral botol kecil sudah cukup untuk berwuduk ambil yang wajib sahaja. Jika keadaan dharurat seperti kesesakan jalan raya kita boleh solat jamak takhir saja tak di qasarkan walaupun bukan musafir. Ini adalah kelonggaran yang Islam berikan dan tak ada qadha' solat dengan sengaja. Qadha' solat hanya kerana tertidur , pengsan atau terlupa sahaja.

No comments:

Post a Comment